suria

Pakatan anjur Perhimpunan Selamatkan Kerajaan Perak

PETALING JAYA: Sementara kegawatan politik yang menyelubungi masih di peringkat tidak menentu sekarang, Pakatan Rakyat sedang membuat persiapan untuk mengadakan perhimpunan 100,000 rakyat di Ipoh malam ini.

Ia akan diadakan 7 malam ini di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak.

Dalam kenyataan dihebahkan menerusi blognya, Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan hadir bersama semua Menteri Besar Negeri Pakatan Rakyat bagi menyatakan sokongan terhadap kerajaan Pakatan Rakyat Perak dan menuntut agar hak rakyat dikembalikan.

Anwar juga merupakan Ketua Pembangkang di Parlimen.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu mempengerusikan mesyuarat Biro Politik parti itu di Kuala Lumpur malam tadi.

Sementara itu, di Ipoh, polis menasihatkan orang ramai jangan terpengaruh dengan maklumat khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengajak menyertai demonstrasi di negeri ini mulai hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, polis telah mendapat maklumat mengenai SMS yang telah tersebar luas kononnya daripada Pakatan Rakyat yang mengajak penyokongnya berhimpun mulai hari ini.

"Polis sedang menyiasat dan akan ambil tindakan terhadap penyebar SMS yang berbau hasutan itu kerana boleh menyebabkan keadaan tidak tenteram di negeri ini," katanya kepada pemberita malam tadi.

Beliau berkata keadaan keselamatan di negeri ini baik dan terkawal berikutan perkembangan politik semasa, dan polis mempunyai cukup angggota bagi menangani sebarang keadaan.

Polis sentiasa memantau keadaan dan mempunyai cukup anggota, katanya.

"Kita akan ambil tindakan terhadap manamana demonstrasi yang menyalahi undang-undang," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Behrang dianiaya PKR?

Artikel Lain