suria

Marin tahan lelaki cuba seludup diesel

TUMPAT: Polis Marin Pengkalan Kubor di sini berjaya membanteras penyeludupan minyak diesel bersubsidi yang cuba diseludup ke Thailand hari ini.

Pegawai Pemerintahnya, DSP Tan Cheng San berkata polis juga telah menahan seorang lelaki dan merampas sebuah bot nelayan yang diubah suai kerana dipercayai cuba menyeludup 2,000 liter diesel bersubsidi ke negara jiran di Kuala Takbai.

Muatan diesel itu disorokkan dalam tangki bot nelayan terbabit yang berdaftar untuk menangkap ikan di perairan Terengganu, katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan, polis menemui 2,000 liter diesel bernilai kira-kira RM2,400 disembunyikan dalam tangki bot terbabit yang diubah suai dipercayai untuk diseludup ke Thailand memandangkan harga bahan bakar itu lebih mahal di negara jiran.

Katanya ketika ditahan pada pukul 11 pagi itu, bot terbabit tidak membawa sebarang alat menangkap ikan sebaliknya membawa diesel yang banyak berbanding keperluan enjin bot itu.

Berikutan penahanan itu, lelaki terbabit yang juga rakyat tempatan berusia 31 tahun bersama hasil rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanjut, katanya.

Tan juga meminta kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi memantau kegiatan penyeludupan minyak di kalangan bot nelayan khususnya yang mengisi minyak bersudsidi tetapi pulang ke pangkalan tanpa sebarang hasil tangkapan.

"Saya hairan bagaimana LKIM membenarkan bot nelayan yang tidak mempunyai alat kelengkapan menangkap ikan serta berdaftar di negeri lain boleh dibenarkan mengisi minyak sehingga menyebabkan kegiatan penyeludupan bahan bakar itu berleluasa," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Behrang dianiaya PKR?

Artikel Lain