suria

Mahkamah tangguh dengar hujah pindah kes Anwar

[DIKEMAS KINI, 12 TENGAH HARI] KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebentar tadi menangguhkan sesi dua hari untuk mendengar hujah permohonan semakan pendakwa untuk memindahkan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke mahkamah tinggi.

Ia berikutan permohonan yang dibuat pihak pembelaan supaya mengecualikan Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden daripada mengendalikan kes liwat tersebut atas alasan beliau mewakili Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dalam Suruhanjaya Diraja menyiasat kes mata lebam Anwar.

Pihak pembelaan yang diketuai Sulaiman Abdullah memohon masa seminggu untuk menyediakan permohonan bertulis dan afidavit sokongan mengecualikan Mohamed Yusof.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamed Zabidin Mohd Diah memutuskan 25 hingga 27 Februari ini untuk mendengar permohonan berkenaan.

Dalam hujahnya, Sulaiman berkata, pihaknya baru sahaja menerima arahan untuk membuat permohonan itu daripada Anwar pagi ini.

"Yang Arif, kami sudah pun bersedia dengan hujah berhubung permohonan pendakwa raya untuk semakan pembatalan keputusan Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan kes Datuk Seri Anwar dipindah ke Mahkamah Tinggi.

"Bagaimanapun, saya baru sahaja mendapat arahan daripada Datuk Seri Anwar supaya memohon untuk mengecualikan Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden daripada mengendalikan kes ini dan juga permohonan semakan kerana beliau mewakili Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dalam Suruhanjaya Diraja menyiasat kes mata lebam Datuk Seri Anwar," katanya.

Permohonan itu bagaimanapun tidak mendapat bantahan daripada pihak pendakwa yang diketuai oleh Mohamed Yusof.

"Saya juga ingin mengetahui atas dasar apa saya diminta untuk dikecualikan," katanya.

Sesi mahkamah pada hari ini hanya berlangsung kira-kira 15 minit bermula pukul 10.30 pagi tanpa kehadiran Anwar.

Sulaiman berkata, Anwar memohon maaf kerana tidak dapat hadir pada sesi hari ini kerana mempunyai hal yang mendesak.

Hujung tahun lalu, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah telah memutuskan pendengaran bagi permohonan pendakwaan itu hari ini dan esok.

BERITA TERDAHULU

Anwar tidak hadir, mahkamah dengar hujah pindah kes liwat

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mula mendengar hujah permohonan semakan oleh pihak pendakwaan untuk memindahkan perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke mahkamah tinggi.

Kes itu bermula pukul 10.30 pagi tanpa kehadiran Anwar.

BERITA TERDAHULU

Mahkamah dengar hujah pindah kes liwat Anwar

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi dijadual mendengar selama dua hari mulai pagi ini berhubung permohonan semakan oleh pihak pendakwaan untuk memindahkan perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke mahkamah tinggi.

Disember lalu, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah telah memutuskan pendengaran bagi permohonan pendakwaan itu hari ini dan esok.

Salah seorang anggota pasukan peguam Anwar, Sankara Nair berkata, sesi mendengar permohonan itu akan berjalan hari ini dan esok.

"Saya percaya mahkamah hanya akan mendengar hujah kedua-dua pihak dan tidak mungkin ada apa-apa keputusan.

"Saya pun tidak menjangkakan proses penghujahan akan selesai hari ini," kata beliau ketika dihubungi 8 pagi tadi.

Sesi hari ini dijangka bermula selepas 9 pagi.

Anwar, 62, kini Ketua Pembangkang di Parlimen didakwa meliwat bekas pembantu khasnya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun 2008 antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang di Unit 11-5-1, Desa Damansara Kondominium, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dituduh di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Sementara menunggu perbicaraan, Anwar dibenarkan bebas dengan bon jaminan peribadi RM20,000.

Dalam blognya minggu lalu, Mohd. Saiful yang mendakwa diliwat oleh majikannya, berharap kesnya akan didengar tanpa penangguhan bagi membolehkan keadilan dipertahankan.

"Minggu depan menandakan enam bulan sejak kes ini didengar," kata Mohd. Saiful.

"Sehingga kini tiada tarikh ditetapkan untuk mendengar kes ini.

"Saya berharap dan berdoa agar kali ini tiada sebarang kelewatan untuk membolehkan keadilan dipertahankan," katanya lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Behrang dianiaya PKR?

Artikel Lain