suria

Kesemua ADUN BN, Bebas menghadap Sultan

IPOH: Kesemua 28 Ahli Undangan Negeri (ADUN) Perak serta tiga Adun Bebas hari ini menghadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah untuk membuat pengakuan yang mereka menyokong Barisan Nasional, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kesemua mereka turut memberi pengakuan menyokong calon Menteri Besar Perak yang akan dikemukakan oleh BN.

"Tuanku dijangka akan membuat keputusan sama ada bubar Dewan Undangan Negeri Perak atau meminta Menteri Besar Datuk Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan dengan secepat mungkin," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini selepas menghadap Sultan Perak sebanyak dua kali di Istana Kinta di sini.

Najib, yang juga Pengerusi BN Perak, pada pukul 9.49 pagi bersama Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menghadap Sultan Perak untuk meminta perkenan baginda agar BN mengambil alih pentadbiran negeri.

Ini berikutan tindakan empat wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat meninggalkan parti masing-masing semalam untuk menyokong dan memberikan majoriti kepada BN bagi membentuk kerajaan negeri.

Empat wakil rakyat itu terdiri Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi; ADUN Changkat Jering Mohd Osman Jailu, kedua-dua daripada Parti Keadilan Rakyat; ADUN Jelapang Hee Yit Foong daripada DAP dan ADUN Bota Datuk Nasaruddin Hashim, yang menyertai PKR pada 25 Jan lepas dan kembali semula kepada Umno semalam.

Jamaluddin, Mohd Osman dan Hee kini menjadi Adun bebas.

Najib sekali lagi menghadap Sultan Perak bersama 28 ADUN BN dan tiga Adun Bebas pada pukul 10.55 pagi selama 35 minit.

Pada sidang akhbar, Najib berkata, semasa menghadap Sultan Perak, beliau telah memohon perkenan baginda untuk membenarkan BN tubuh kerajaan baru berikutan BN kini mempunyai majoriti di Dewan Undangan Negeri.

"Dengan ini, terserah kepada Tuanku untuk membuat apa-apa keputusan yang sewajarnya dan sebarang keputusan Tuanku akan kita hormati kerana ia hak mutlak Tuanku," katanya.

Mengenai calon Menteri Besar, Najib berkata, BN akan mengikut proses dan peraturan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dengan mendapat perkenan Sultan Perak sebelum sebarang pengumuman dibuat jika kerajaan BN memerintah semula di negeri ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Behrang dianiaya PKR?

Artikel Lain