suria

BN tak pujuk wakil rakyat Pakatan Selangor

SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata Barisan Nasional (BN) tidak akan memujuk mana-mana wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat di negeri itu untuk menyertainya bagi membolehkan BN kembali menguasai negeri itu.

Katanya setakat ini, tiada Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor yang menemui beliau untuk tujuan menyertai BN.

"Apabila kepimpinan negeri menggunakan wang kerajaan dan pengaruh untuk kepentingan lain, saya rasa rakyat dan wakil rakyat akan ambil tindakan mereka sendiri," katanya di sini hari ini.

Mohamad Khir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak berikutan tindakan empat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pakatan Rakyat meninggalkan parti masing-masing untuk menyokong BN.

Mereka terdiri ADUN Jelapang, Hee Yit Foong yang keluar daripada DAP, ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, ADUN Changkat Jering, Mohd Osman Jailu, dan ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim, ketigatiga daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketika ditanya sama ada perkara itu (wakil rakyat Pakatan Rakyat di Selangor menyertai BN) akan berlaku dalam masa terdekat ini, Mohamad Khir berkata persoalan itu sukar dijawab kerana ia bergantung kepada pentadbiran kerajaan negeri.

Daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor, 36 dikuasai Pakatan Rakyat dan bakinya adalah milik BN. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Behrang dianiaya PKR?

Artikel Lain