suria

Saya sekadar kambing hitam, kata Sirul Azhar

SHAH ALAM:Tertuduh kedua kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia adalah sekadar "kambing hitam yang harus dikorbankan" untuk melindungi rancangan dan niat mereka yang tidak berada dalam mahkamah ini untuk menghadapi pertuduhan.

"Saya tidak mempunyai sebarang sebab untuk mencederakan apatah lagi mengambil nyawa mangsa dengan begitu kejam," kata Koperal Sirul Azhar Umar dengan nada suara yang sebak ketika memberi keterangan membela diri.

Sirul Azhar, 37, dari Unit Tindakan Khas Bukit Aman, turut menyentap perasaan mereka yang berada dalam mahkamah dengan merayu agar tidak dijatuhkan hukuman mati.

"Saya merayu kepada mahkamah yang kini berada di dalam kedudukan dan mempunyai kuasa untuk menentukan hidup dan mati saya, agar tidak menghukum saya sekaligus menyempurnakan perencanaan mereka terhadap saya," katanya sambil dilihat mengesat linangan air mata.

Adik perempuan dan abang saudaranya yang turut berada di galeri awam dilihat turut menangis.

Sirul Azhar mula membacakan nota kenyataan pembelaannya setebal 15 muka surat bermula pukul 9.40 pagi, dengan menjelaskan mengenai pertemuannya dengan tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri, 33, pada 18 Okt 2006 di Cental Market untuk mencari Hotel Malaya setelah dia selesai bertugas.

"Saya bertanya kepada Azilah apakah tujuan mencari Hotel Malaya dan apakah tujuan untuk ke Damansara (ke rumah Abdul Razak Abdullah Baginda, tertuduh ketiga yang telah dibebaskan dan dilepaskan sebelum ini)?. Azilah memberitahu saya beliau ada kerja yang hendak dilaksanakan dan meminta saya mengikutinya sahaja.

"Dalam perjalanan ke Damansara, Azilah ada menceritakan kepada saya bahawa DSP Musa Safri telah memberitahu beliau hal seorang kawan DSP Musa yang sedang menghadapi masalah perempuan.

"Azilah mengarahkan saya untuk memandu ke rumah kawan DSP Musa yang dimaksudkan di Bukit Damansara. Menurut Azilah kawan DSP Musa adalah seorang berjawatan tinggi, seorang ahli perniagaan dan seorang yang berada.

"Bagaimanapun, Azilah tidak mendedahkan kepada saya identiti kawan DSP Musa itu," katanya.

Mengimbas bagaimana dia dibawa ke tempat kejadian, Sirul Azhar berkata ASP Tonny Lunggan (pegawai penyiasat kes itu) telah mengarahkan beberapa orang pegawai polis yang turut membawa kamera video ke satu kawasan pada 6 Nov 2006 tetapi berada di situ sekejap sahaja kerana hari hampir senja.

Sirul Azhar berkata bahawa pada esokannya, ASP Zulkarnain telah memintanya membuat pengakuan dengan berkata "...macam inilah Sirul, kalau kau setuju, engkau ikut aku, kau camkan barangbarang itu, kau pegang dan tunjuk ke arah barang itu sambil jurugambar ambil gambar, aku boleh tolong engkau dan hal ini kita tidak bawa ke mahkamah."

Selepas itu tanpa bertanya apaapa, Sirul Azhar berkata dia telah mengikuti beberapa anggota polis ke rumahnya dan di situ (rumah) dia melihat ASP Zulkarnain membuka pintu menerusi kunci yang mana sebelum itu dia telahpun menyerahkannya kepada ACP Mastor Mohd Ariff (pegawai atasan UTK) sewaktu di Pakistan.

Bagaimanapun, Sirul Azhar berkata kunci yang ditunjukkan di mahkamah bukanlah kunci rumahnya yang sebenar kerana ia masih berkilat sedangkan kunci miliknya telah lusuh dan banyak.

Katanya, ketika di rumah, dia telah dipaksa memegang jaket dan menunjuk arah barangbarang milik Altantuya untuk dirakam gambarnya dan sewaktu keadaan itu berlaku dia tidak dibacakan apaapa 'amaran' oleh manamana pegawai polis.

"Sebelum saya mengakhiri kenyataan ini, saya ingin menyatakan bahawa saya tidak pernah mengenali mangsa dalam kes ini dan tidak pernah mempunyai sebarang urusan peribadi mahupun sebaliknya dengan beliau.

"Saya juga tidak mengenali Abdul Razak dan tidak mempunyai sebarang urusan dengan beliau sebelum kes ini. Saya merayu kepada mahkamah ini untuk mengambil kira bahawa sepanjang perbicaraan ini, saya telah mengikuti prosiding ini dan menyaksikan bagaimana beberapa saksi penting pendakwaan terutamanya saksi dari D9 IPK (siasatan jenayah berat) yang merekareka cerita, tidak bercakap benar dan sentiasa berubahubah cerita mereka bila disoal balas.

"Saya melihat keadaan ini dengan keperihatinan kerana bagi saya tindakan mereka ini sematamata bertujuan untuk mendapatkan sabitan terhadap saya," katanya.

Selesai sahaja Sirul Azhar memberi keterangan, peguam Hasnal Redzua Merican yang mewakilinya, menyatakan bahawa pihaknya tidak akan memanggil saksi lain dan menutup kes pembelaan.

Hakim Mohd Zaki menetapkan 16 dan 17 Feb ini untuk semua pihak mengemukakan penghujahan sebelum beliau membuat keputusan.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain