suria

MB Perak enggan nyatakan keputusan Sultan Perak

IPOH: Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin enggan menyatakan sama ada Sultan Perak Sultan Azlan Shah berkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti yang dipohon oleh kerajaan negeri hari ini.

Mohammad Nizar yang menghadap Sultan Perak di Istana Kinta di sini hari ini turut enggan menjelaskan butiran perbincangan selama dua jam itu.

Ketika ditemui pemberita di luar Istana Kinta dalam keadaan hujan lebat, beliau hanya berkata: "Saya dah jumpa dengan Tuanku dan memohon kepada Tuanku dan Tuanku akan buat keputusan. Terserah kepada Tuanku."

Pada sidang akhbar pukul 3 petang iaitu sebelum beliau menghadap Sultan Perak, Mohammad Nizar membuat tindakan mengejut dan luar biasa apabila mengumumkan pembubaran DUN tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan baginda.

Mohammad Nizar tiba di Istana Kinta pada pukul 3.50 petang dengan diiringi Exco Agama, Pendidikan Islam, Wanita dan Kebajikan Mohd Zainuddin Mohd Yusof dan Exco Pembangunan Industri dan Penerangan Tai Sing Ng menaiki dua kereta berasingan.

Setiba di luar pintu pagar Istana Kinta, kereta yang dinaiki Mohd Zainuddin dan Tai tidak dibenarkan memasuki kawasan istana.

Beberapa minit kemudian exco kanan kerajaan negeri Datuk Ngeh Koo Ham bersama Speaker DUN V.Sivakumar pula tiba dan turut tidak dibenarkan memasuki kawasan istana.

Mohammad Nizar berkata kerajaan negeri terpaksa memohon perkenan Sultan membubarkan DUN ekoran keadaan yang tidak menentu apabila dua anggota DUN daripada Parti Keadilan Rakyat dan seorang daripada DAP mengisytiharkan diri mereka kini sebagai wakil rakyat Bebas.

Speaker DUN pada pukul 5 petang ini telah memfakskan satu kenyataan media mendakwa ADUN Jelapang, Hee Yit Foong daripada DAP, telah menghantar surat rasmi peletakan jawatan sebagai ADUN pada 8.10 pagi tadi.

Dalam kenyataan itu, Sivakumar turut memaklumkan bahawa Hee meletakkan jawatan itu dengan kadar segera dan peletakan jawatan itu telah diterima oleh beliau berasaskan Artikel XXXV Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

"Saya akan menghubungi pihak Suruhanjaya Pilihan Raya secepat mungkin untuk mengadakan pilihan raya kecil bagi kawasan Jelapang dalam tempoh 60 hari seperti mana yang termaktub dalam Artikel XXXVI (5) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak," katanya.

Dua hari lepas, ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, dan ADUN Changkat Jering, Mohd Osman Jailu, mengumumkan keluar daripada PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas manakala Hee, yang juga Timbalan Speaker, dipercayai telah menyerahkan surat keluar daripada DAP hari ini.

Selain Jamaluddin, Mohd Osman dan Hee yang kini menjadi anggota bebas, ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang meninggalkan Umno pada 25 Januari untuk menyertai PKR kini kembali semula kepada Umno.

Ekoran tindakan keempat-empat wakil rakyat itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengumumkan di Putrajaya hari ini bahawa Barisan Nasional (BN) Perak kini mempunyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Katanya walaupun BN dan Pakatan Rakyat kini masing-masing mempunyai 28 anggota, tiga wakil Bebas itu telah menyatakan sokongan kepada BN. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain