suria

MB Perak bubar DUN sebelum perkenan sultan

IPOH: Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang menghadapi krisis politik hari ini dalam satu langkah drastik dan luar biasa mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan serta merta sebelum mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Bercakap pada sidang akhbar di pejabatnya pada 3 petang tadi, Mohammad Nizar berkata beliau akan mengadap Sultan Azlan Shah petang ini bagi mendapat perkenan baginda.

Beliau berkata kerajaan negeri terpaksa mengambil tindakan memohon perkenan Sultan Perak membubarkan DUN ekoran keadaan yang tidak menentu apabila dua anggota DUN daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil rakyat Bebas, manakala seorang ADUN dari DAP pula diura-ura akan mengambil langkah serupa.

Dua hari lepas, ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, dan ADUN Changkat Jering, Mohd Osman Jailu, mengumumkan keluar daripada PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas manakala ADUN Jelapang, Hee Yit Foong, yang juga Timbalan Speaker dipercayai telah menyerahkan surat keluar daripada DAP hari ini.

Kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak yang dianggotai 18 wakil DAP, lapan PKR dan enam PAS. Jika tiga ADUN berkenaan keluar, maka kerajaan negeri hanya tinggal 29 kerusi berbanding BN 27 dan Bebas tiga.

Tindakan beliau mengumumkan pembubaran dewan undangan negeri (DUN) sebelum mengadap Sultan bagi mendapatkan perkenaan itu menurut pakar undang-undang adalah bercanggah dengan undang-undang tubuh negeri.

Seorang pegawai kanan negeri yang enggan namanya disebut mengesahkan bahawa pengumuman pembubaran DUN hanya berkuat-kuasa apabila mendapat perkenaan Sultan.

Mohammad Nizar mendakwa ketidaktentuan yang berlaku sekarang kononnya disebabkan gangguan oleh Barisan Nasional (BN) dan Umno yang tidak dapat menerima kekalahan mereka pada pilihan raya umum lepas.

Menteri Besar ke-10 yang juga Timbalan Pesuruhajaya PAS Perak itu berkata kesemua 29 ADUN Pakatan Rakyat jitu dan bersepakat untuk bersetuju supaya DUN dibubarkan dan satu pilihan raya mengejut dilaksanakan.

Beliau berkata Sultan Perak mempunyai kuasa mutlak untuk menolak permohonan membubarkan DUN dan menjawab pertanyaan pemberita, Mohammad Nizar berkata beliau tidak terkejut jika BN akan memohon perkenan Sultan Perak bagi membentuk kerajaan negeri yang baru.

Mengenai ketidakhadiran ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang sebelum itu dijadual hadir pada sidang akhbar itu, Menteri Besar berkata beliau dimaklumkan yang Nasaruddin telah dibawa pergi bertemu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya.

Nasaruddin meninggalkan Umno dan menyertai PKR minggu lepas.

Mohammad Nizar berkata dengan pembubaran itu, kerajaan negeri Perak akan diperintah oleh kerajaan sementara dan urusan pentadbiran akan berjalan seperti biasa.

"Semua majlis dan upacara sempena perayaan Jubli Perak pemerintahan Sultan Azlan Shah akan berjalan seperti yang dirancang," katanya.

Sepanjang sidang media selama 30 minit itu, Mohammad Nizar kelihatan bersahaja dan menjawab semua soalan wakil media dengan tenang.

Sidang media itu turut disertai anggota Exco, ADUN dan anggota Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain