suria

Elak polis, lelaki terjun patah kaki

IPOH: Seorang lelaki cedera parah selepas terjun daripada tingkat satu sebuah bangunan ketika cuba melarikan diri daripada ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah premis di Taman Panglima di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias berkata lelaki berusia 46 tahun, yang patah kaki kanan selepas terjatuh ke atas bumbung sebuah kereta, dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk mendapatkan rawatan.

Kejadian itu berlaku pada pukul 2.50 pagi apabila polis menerima maklumat orang awam menyatakan beberapa wanita dan lelaki dilihat sedang bermain judi di sebuah premis di tingkat satu di sebuah taman di bandar raya ini, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Azisman berkata bertindak daripada maklumat berkenaan, dua pegawai dan 15 anggota polis mengadakan serbuan di premis itu dan dua lelaki berlagak sebagai pengawal di premis berkenaan cuba melarikan diri dan seorang daripadanya bertindak terjun lalu terjatuh di atas bumbung sebuah kereta menyebabkan kaki kanan lelaki itu patah.

Polis yang memecah masuk ke dalam premis itu menahan 21 orang membabitkan tiga wanita dan 18 lelaki yang sedang bermain judi dan polis turut merampas wang tunai RM28,000 daripada mereka, katanya.

Kesemua mereka berusia antara 27 hingga 62 tahun ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain