suria

Dua anggota polis antara lima didakwa terima rasuah

KUALA LUMPUR: Dua anggota polis dan seorang pembantu penguatkuasa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menerima rasuah antara tahun 1999 dan 2007.

Mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rosbiahanin Arifin.

ASP Sydney Clyde Jeremiah, 49, daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi didakwa bersetuju menerima rasuah wang tunai RM2,000 daripada Mohd Khusaifil Che Rashid, sebagai dorongan untuk melepaskan Hoi Chee

Kin, 27, daripada kesalahan menawarkan perkhidmatan seks. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Penolong Penguasa Polis, Tingkat 8, IPD Dang Wangi pada pukul 3.30 petang, 26 Okt 2007.

Sarjan Abdul Razak Mayuddin, 51, dari IPD Sentul didakwa menerima rasuah wang tunai RM1,000 daripada Chua Seong Loon supaya tidak mengambil sebarang tindakan ke atas Chin Hoi Man dan Chin Hoi Ching, berhubung kes mencederakan orang mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Abdul Razak didakwa melakukan kesalahan itu, di Blok C, Tingkat 3, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, pada pukul 2.30 hingga 2.55 pagi, pada 2 April 2006.

Kedua-dua anggota polis itu masingmasing didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut manamana yang lebih tinggi.

Sementara itu, Pembantu Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Abdul Rashid Yusoff, 56, yang bertugas di Bahagian Direktorat Penguatkuasaan, didakwa menerima rasuah wang tunai RM350 daripada M. Muthugumar, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan dengan merobohkan dinding rumah setinggan kepunyaannya yang ditukar baru, di Restoran Kampung Pandan, 40 Jalan Thaver, Kampung Pandan pada pukul 3.52 petang, 6 Okt 1999.

Hakim Rosbiahanin kemudian membenarkan Sydney diikat jamin sebanyak RM5,000, Abdul Razak (RM3,000) dan Abdul Rashid (RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Mac untuk sebutan semula kes.

Sydney, diwakili peguam bela Datuk Salehuddin Saidin manakala dua tertuduh lain tidak diwakili. Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain