suria

Polis Perak mula siasat isu 2 ADUN letak jawatan

PETALING JAYA: Polis Perak telah memulakan siasatan berhubung isu kontroversi dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu yang diisytiharkan telah meletakkan jawatan berkuat kuasa kelmarin.

Dalam kenyataan ringkas dikeluarkan di Ipoh hari ini, Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, pihaknya akan merakam kenyataan daripada semua pihak berkaitan dan mereka yang boleh membantu siasatan polis.

"Polis mengesahkan telah menerima pengaduan polis daripada pihak Ahli Dewan Undangan Negeri Behrang dan Changkat Jering pada pagi 2 Februari (semalam)," katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan di mana laporan itu dibuat.

Kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini memutuskan bahawa tidak berlaku kekosongan pada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kawasan Changkat Jering (N14) dan DUN Behrang (N58) dan kedua-duanya masih dipegang oleh penyandang kerusi berkenaan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf berkata, ini kerana SPR mendapati wujudnya keraguan terhadap keduadua surat peletakan jawatan Mohd Osman Jailu sebagai ADUN Changkat Jering dan Jamaluddin Mohd Radzi sebagai ADUN Behrang.

Petang kelmarin, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar mengumumkan Jamaluddin dan Mohd Osman telah pun menyerahkan surat meletak jawatan sebagai wakil rakyat di rumahnya.

Sebaliknya, Jamaluddin dalam kenyataan dua muka surat yang ditandatanganinya dan diedarkan kepada media semalam, menafikan menghantar surat mengosongkan kerusi itu kepada Sivakumar, seperti yang dilaporkan.

Jamaluddin berkata, laporan itu tidak berasas dan juga menafikan beliau melarikan diri, sebaliknya sedang bercuti sakit sejak Rabu lepas.

Mohd Osman pula membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Shah Alam semalam melalui wakilnya berhubung isu mengosongkan kerusi berkenaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain