suria

PM: Jangan lengah laksana pakej rangsangan ekonomi

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu setiap perancangan termasuklah pakej rangsangan ekonomi pertama dilaksanakan dengan segera dan jangan dilengah-lengahkan kerana ia akan memberi kebaikan kepada rakyat.

Perdana Menteri berkata, pemberian pakej rangsangan ekonomi pertama yang telah diumumkan dan pakej kedua yang akan diumumkan adalah usaha untuk merancakkan ekonomi negara dalam menghadapi kesan daripada kemelesetan ekonomi global.

Beliau berkata, langkah itu juga sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran yang mendatang dan memastikan ekonomi negara berada dalam keadaan baik.

"Ini harapan kita, kita tidak boleh menjangkakan dengan tepat sekali apa yang berlaku tetapi kita boleh bersedia untuk menghadapai segala masalah yang mungkin timbul dan cabaran yang terpaksa kita hadapi.

"Itu kita punya perancangan, yang kita boleh rancang, itu kita boleh aturkan segala rancangan dan kita tetapkan bagaimanakah yang kita hendak lakukan, dan kita juga boleh tetapkan berapa banyak peruntukan wang yang hendak disediakan untuk tujuan itu," katanya pada majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

"Kita boleh bersedia untuk sebarang kemungkinan, walaupun kita tidak tahu apakah yang akan berlaku pada masa-masa tertentu," kata Abdullah.

Pada 4 November lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan telah mengumumkan pakej rangsangan RM7 bilion untuk mengukuhkan ekonomi, mengukuhkan ketahanan nasional dan menampan ekonomi daripada impak kegawatan ekonomi global.

Najib baru-baru ini dilaporkan berkata pakej rangsangan ekonomi kedua akan dilancarkan tidak lama lagi bagi memastikan negara tidak terjerumus ke dalam kancah kemelesetan serius akibat ekonomi global yang semakin merudum.

Sementara itu, Abdullah sekali lagi menegur kakitangan awam yang lewat membuat keputusan berhubung sambungan kontrak kerajaan yang telah diberikan kepada sesebuah syarikat.

"Apabila sesuatu syarikat sudah tiba masanya untuk disambungkan (kontraknya), adalah menjadi harapan syarikat yang punya kontrak itu mendapat kutipan yang cepat.

"Jika kita lewat, banyak masalah yang akan dihadapi olehnya, kerja terus berjalan, tidak bermakna kontrak habis, segalanya berhenti. Perkara itu tentu sekali akan menimbulkan masalah," katanya.

Abdullah juga berkata, apabila berlaku kelewatan, pihak berkenaan pula membuat aduan kepada orang atasan, sama ada pada menteri kementerian berkenaan atau kadangkala kepada pengetahuan Ketua Setiausaha Negara, timbalan beliau dan juga beliau sendiri.

"Dan apabila perkara itu dibawa ke atas, maka timbul perasaan tidak senang hati, kenapa bawa perkara itu ke atas, marah pulak, kecil hati, perli pulak, dia orang dah kenal orang atas.

"Bila dah jadi begitu, orang takut kepada pegawai tinggi kerajaan, nanti bila dah mengadu, lain kali susahlah, segalagalanya sudah menjadi susah, seolaholah sudah digam, orang seperti ini tak boleh kira.

"Kita tidak sepatutnya melakukan perkaraperkara seperti itu," katanya.

Abdullah turut melahirkan rasa lega dan senang hati berikutan terdapat banyak peningkatan dari aspek kecekapan perkhidmatan awam.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu kakitangan awam menjadi leka tetapi terus berusaha untuk meningkatkan kecekapan kerana Misi Nasional menggariskan setiap rakyat perlu menambah nilai diri dan ilmu pengetahuan untuk mencapai kejayaan yang lebih baik. "Walaupun indeksindeks telah meningkat, menunjukkan kecekapan kita, dari aspek penyampaian perkhidmatan awam makin bertambah baik tetapi kita perlu meningkatkan penambahan baik itu kerana ini adalah kewajipan kita," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain