suria

Gerak buat satu lagi laporan terhadap MB Selangor

SHAH ALAM: Gerakan Anti Korupsi (GERAK) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan yang didakwa melibatkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Laporan itu dibuat pengerusi GERAK, Mohd Nazree Mohd Yunus di pejabat SPRM di sini pada pukul 4.55 petang.

Mohd Nazree berkata, laporan itu meminta SPRM menyiasat berkaitan amalan Menteri Besar menggunakan wang awam untuk membiayai kos penyelenggaraan dan pembelian aksesori serta alat ganti kereta milik peribadinya.

Katanya, beliau menyerahkan enam keping dokumen kepada SPRM termasuk invois dan resit penyelenggaraan kereta jenis Lexus nombor pendaftaran WQR779 milik Abdul Khalid.

Beliau mendakwa bahan bukti yang diterima oleh GERAK menunjukkan kerajaan negeri telah membelanjakan sejumlah RM7,797 bagi membiayai kos penyelenggaraan kereta Abdul Khalid itu secara berkala, alat ganti termasuk tayar berjenama Michelin dan pemasangan cermin gelap.

Pada 21 Januari lepas, Gerak membuat laporan kepada SPRM terhadap Abdul Khalid atas dakwaan menyalahgunakan dana syarikat kerajaan negeri untuk membeli 46 ekor lembu dengan harga RM110,400 untuk ibadah korban sempena Aidiladha pada Disember lepas untuk diagihkan ke kawasan Parlimen Bandar Tun Razak yang diwakilinya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain