suria

Sembilan lelaki merempit di Butterworth ditahan

BUTTERWORTH: Polis menahan sembilan lelaki yang terlibat dalam kegiatan lumba haram pada waktu senja di Jalan Lingkaran Luar Butterworth (BORR), di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam/Ketua Trafik Pulau Pinang Supt Wan Aziz Wan Husin berkata kesemua lelaki yang berumur antara 18 dan 28 tahun itu ditahan dalam operasi pencegahan lumba haram selama dua jam di sekitar lebuh raya itu.

"Mereka melakukan lumba haram pada waktu senja iaitu ketika masuk waktu Maghrib. Polis mengadakan intipan selama beberapa minggu dan malam tadi kami menahan sembilan lelaki itu ketika mereka sedang beraksi," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau berkata ini merupakan operasi kedua dalam tempoh tiga bulan.

Selepas operasi pertama pada November, kegiatan itu reda seketika dan kembali aktif beberapa minggu lepas.

Pada operasi malam tadi, polis turut memeriksa 80 motosikal dan mengeluarkan 18 saman serta mensita 14 daripadanya atas pelbagai kesalahan, termasuk tidak memiliki lesen dan cukai jalan yang tamat tempoh, katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain