suria

Putera Umno hantar misi kemanusiaan ke Gaza

KUALA LUMPUR: Putera Umno akan menghantar pasukan misi kemanusiaan ke Gaza dalam usaha memberikan sokongan moral dan bantuan perubatan kepada penduduk Palestin yang diserang rejim Israel sejak 27 Disember lepas.

Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim tidak menolak kemungkinan biro di bawah Pergerakan Pemuda Umno itu untuk berbuat demikian berdasarkan pengalaman Putera Umno membantu mangsa gempa bumi di Yogyakarta, tsunami di Sri Lanka dan gempa bumi di Pakistan sebelum ini.

"Pengalaman yang akan kita kutip di sana juga boleh menjadi iktibar kepada generasi muda.

"Mereka tidak perlu bawa M16 seperti remaja belasan tahun di Gaza, di negara ini semuanya aman," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada penyunting meja rencana Bernama Zulkiple Ibrahim di Wisma Bernama di sini hari ini.

Dalam majlis ringkas disaksikan Timbalan Ketua Pengarang Bernama Zulkefli Salleh, Abdul Azeez yang juga Pengerusi Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda Umno memberikan sumbangan tunai RM2,500 kepada Zulkiple untuk kegunaan anaknya, Muhamad Zul Azfar, 17 bulan.

Selain sumbangan kewangan yang akan digunakan untuk sesi terapi menelan dan bertutur Muhamad Zul Azfar, yang mengidap jantung berlubang dan sindrom down sejak lahir, sekretariat akan membantu Zulkiple mendapatkan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai bantuan jangka panjang untuk anaknya.

"Tiada pihak harus dipinggir dalam kebajikan termasuk wartawan," kata Abdul Azeez yang turut mencadangkan supaya tabung kebajikan wartawan ditubuhkan kementerian yang terbabit.

Abdul Azeez turut mengaitkan usaha menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza dan sumbangan kepada wartawan itu sebagai antara aktiviti kebajikan Putera Umno dalam mendidik generasi muda menerusi program kebajikan dan kemanusiaan.

Mengulas lanjut mengenai misi kemanusiaan ke Gaza, beliau berkata pasukan kemanusiaan itu akan disertai beberapa doktor yang akan dikenalpasti biro kemudian.

Beliau berkata pengalaman bekerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) seperti Aman Malaysia, akan menjadi panduan kepada Putera Umno untuk menjalankan misi kemanusiaan di Gaza dengan selamat.

Lebih 1,300 rakyat Palestin termasuk 700 orang awam, terutama wanita dan kanakkanak tidak berdosa, terbunuh dalam serangan rejim zionis Israel di Gaza yang dikecam masyarakat dunia. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain