suria

Polis: Peguam Negara tidak tolak kertas siasatan Kugan

KUALA LUMPUR: Peguam Negara tidak pernah menolak kertas siasatan yang dikemukakan polis berhubung siasatan kes tahanan yang mati dalam lokap, A.Kugan, sebaliknya hanya meminta penambahan maklumat sebelum pendakwaan dapat dilakukan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, penambahan maklumat berhubung manamana kertas siasatan adalah normal dan bukan terhad kepada kes Kugan sahaja kerana ia bertujuan melengkapkan siasatan.

"Sebenarnya isu penolakan oleh Peguam Negara itu tidak timbul... apa yang diarahkan hanyalah untuk menambah laporan siasatan seperti fakta kes dan keterangan saksi tertentu dan kita akur dengan arahan itu," katanya selepas sesi dialog bersama penduduk di Taman Bukit Utama dan Laman Oakleaf di sini hari ini.

Rabu lalu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengarahkan kertas siasatan kematian Kugan dibuat penambahan sebelum diserahkan semula ke Pejabat Peguam Negara.

Kugan, 23, yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes curi kereta mewah di Sungai Chua, Kajang, ditemui mati dalam lokap di Balai Polis USJ, Subang Jaya pada 20 Januari lepas.

Sementara itu, ketika diminta mengulas kes seorang lelaki yang mendakwa dipukul sepasukan anggota polis ketika ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan pada 22 Jan lepas, Ismail berkata polis sedang melakukan siasatan berhubung dakwaan tersebut.

"Kita akan menyiasat dakwaan lelaki itu, sekiranya benar terdapat salah laku atau penderaan yang dilakukan oleh mana-mana anggota kita, seperti biasa pihak polis tidak akan berkompromi," katanya.

Lelaki berusia 30an itu mendakwa dipukul pada bahagian tengkuk, tangan dan kaki.

Katanya, siasatan masih dilakukan termasuk terhadap laporan perubatan mengenai tubuh badan lelaki itu kerana laporan perubatan sebelum ini menyatakan lelaki itu pernah mengalami kecederaan pada bahagian tengkuk akibat kemalangan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain