suria

Perak: SPR sudah dimaklum kekosongan, wajar panggil pilihan raya kecil

[DIKEMAS KINI, 12.45 TENGAH HARI] PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajar mengadakan pilihan raya kecil sebaik sahaja menerima notis pengesahan kekosongan mana-mana kerusi termasuk di Perak, yang kini "menuju kontroversi perundangan".

Sama ada seseorang wakil rakyat itu mahu mengambil tindakan mahkamah kononnya pihak tertentu atau parti mereka menggunakan surat letak jawatan yang telah ditandatangani terlebih awal, sebelum kekosongan diumumkan, merupakan satu soal berlainan.

SPR DIMAKLUM

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusuf ketika dihubungi mengesahkan beliau sudah dimaklumkan oleh Pengarah Pilihan Raya Negeri Perak, Ahmad Adli Abdullah bahawa telah menerima notis kekosongan daripada Speaker.

Malah, kata beliau, Pejabat Pilihan Raya Perak juga ada menerima surat daripada dua Ahli Dewan Undangan Negeri yang dikatakan telah mengosongkan kerusi masing-masing.

Pengarah Pilihan Raya Perak, Ahmad Adli Abdullah ketika dihubungi sebentar tadi juga mengesahkan ada menerima notis kekosongan dan salinan surat daripada kedua-dua ADUN berkenaan.

Bagaimanapun Abdul Aziz tidak menyatakan kandungan surat kedua-dua ADUN berkenaan.

"Esok kami akan mengadakan mesyuarat dan melihat kandungan surat itu," kata beliau kepada mStar Online kira-kira pukul 12.20 tengah hari tadi.

Hari ini adalah cuti di Putrajaya sempena sambutan Hari Wilayah Persektuuan. Speaker Dewan Undangan Negeri memaklumkan Pejabat Pilihan Raya Negeri pukul 8 pagi tadi.

WAJAR PILIHAN RAYA DIADAKAN

Dalam pada itu, bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ketika dihubungi mStar Online memberitahu, mengikut perundangan pilihan raya, sebaik sahaja notis kekosongan diterima daripada Speaker, pilihan raya kecil wajar diadakan.

Mengikut skop perundangan, kata beliau, SPR perlu menerima langkah Speaker mengumumkan kekosongan yang tidak boleh dicabar atau diketepikan.

"Mengikut undang-undang (Perlembagaan negeri dan persekutuan), SPR perlu menghormati notis pengesahan kekosongan dan mengadakan pilihan raya kecil dengan sewajarnya (dalam 60 hari)," kata beliau yang juga bekas Setiausaha SPR.

Beliau bersara 30 Disember lalu.

Sama ada penyandang kerusi terbabit mahu mencabar keputusan Speaker ataupun sebaliknya, ia merupakan perkara lain, kata beliau lagi.

KES RUJUKAN

Senario politik negara ini pernah menyaksikan kes penggunaan surat makluman letak jawatan tanpa tarikh pada 1993 - melibatkan ADUN PAS menyertai Barisan Nasional.

Ia membabitkan wakil rakyat Nordin Salleh dan beberapa yang lain menyertai BN pada 1990 dan mahkamah mengisytiharkan surat berkenaan tidak sah.

"Kita pernah ada kes seperti ini sebelum ini, ada kes rujukan," kata Abdul Rashid.

Beliau mengulas polemik ekoran pendirian dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) malam tadi menafikan mereka meletakkan jawatan dan menyifatkan pengumuman Speaker Dewan Undangan Negeri, V. Sivakumar lewat petang semalam mengenainya sebagai satu "pembohongan".

Kedua-dua ADUN tersebut berkata mereka akan menghubungi peguam mereka untuk tindakan selanjutnya.

"Ini satu pembohongan dan kami akan berbincang dengan peguam untuk tindakan selanjutnya," kata ADUN Behrang, Jamaluddin Mat Radzi.

Sivakumar telah memaklumkan tentang kekosongan yang wujud kepada Pejabat Pilihan Raya Perak pagi tadi.

ADUN Changkat Jering, Mohd. Osman Jailu turut menafikan bahawa beliau telah meletakkan jawatan sebagaimana didakwa oleh Sivakumar.

"Sehingga kini kami masih ADUN PKR dan belum pernah mengisytiharkan untuk keluar daripada parti, (menjadi) calon bebas pun tidak, atau mengumumkan menyertai Umno," kata Jamaluddin dalam reaksinya terhadap kenyataan Sivakumar bahawa mereka menyerahkan meletakkan jawatan kepadanya hari ini setelah dikatakan menghilangkan diri sejak beberapa hari lepas.

Jamaluddin dan Osman berkata surat peletakan jawatan yang dimaksudkan Sivakumar ialah surat yang ditandatangani tujuh Adun PKR pada 8 Mac tahun lepas kerana Pakatan Rakyat bimbang mereka berdua akan menyertai Barisan Nasional (BN).

Artikel Berikut

Artikel Lain