suria

Pakatan tidak akan bubar DUN Perak

IPOH: Kerajaan Pakatan Rakyat Perak tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya baru diadakan kerana kerajaan negeri masih stabil, kata Exco Kanan Perak Datuk Ngeh Koo Ham.

Ngeh, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga, Air dan HalEhwal Bukan Islam berkata demikian bagi menjawab pertanyaan pemberita di sini berikutan isu kedudukan dua anggota Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dilaporkan oleh Speakar Dewan Undangan Negeri Perak V Sivakumar telah meletakkan jawatan.

Semalam, Sivakumar berkata ADUN Changkat Jering Mohd Osman Jailu dan ADUN Behrang Jamaluddin Mohd Radzi telah memfakskan kepadanya surat peletakan jawatan mereka, dan hari ini telah menghantar surat rasmi kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri Perak Ahmad Adli Abdullah untuk memaklumkan kekosongan keduakedua kerusi itu.

Bagaimanapun, malam tadi, kedua-dua ADUN PKR itu menafikan telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Sivakumar, dan dilaporkan telah menghantar wakil untuk membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 11, Shah Alam pada pukul 2 pagi tadi menafikan laporan mereka meletakkan jawatan sebagai ADUN.

Keadaan yang tidak menentu mengenai kedudukan keduadua ADUN ini telah menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai mengenai kedudukan kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang mempunyai 32 kerusi berbanding Barisan Nasional (BN) yang memenangi 27 kerusi.

Daripada 32 kerusi itu, DAP mempunyai kerusi terbesar sebanyak 18 kerusi, PKR lapan dan PAS enam. BN menang 28 kerusi tetapi ADUN Bota Datuk Nasaruddin Hashim menyertai PKR minggu lepas.

Ngeh, yang juga Pengerusi DAP negeri turut meminta SPR supaya mengadakan pilihan raya kecil bagi kerusi DUN Changkat Jering dan Behrang yang telah diisytiharkan kosong oleh Sivakumar.

Beliau berkata keputusan yang dibuat oleh Sivakumar selaku Speaker kerajaan negeri adalah muktamad dan SPR perlu menjalankan tugasnya seperti biasa walaupun kedua-dua ADUN Changkat Jering dan Behrang berhasrat mencabar keputusan Sivakumar itu.

"Saya tidak nampak kedua-dua ADUN berkenaan boleh menghalang proses untuk SPR mengadakan pilihan raya kecil di Changkat Jering dan Behrang kerana sebarang bantahan hanya boleh dilakukan sebelum Speaker memaklumkan secara rasmi kepada SPR tentang kekosongan dua kerusi DUN itu," katanya.

Ngeh turut mengesahkan bahawa Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin telah mengadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah di Istana Kinta di sini pagi tadi bagi memaklumkan mengenai perkembangan semasa politik negeri ini khususnya berkaitan isu percanggahan peletakan jawatan Jamaluddin dan Mohd Osman sebagai ADUN.

Artikel Berikut

Artikel Lain