suria

Kes Kugan: Ketua Polis Selangor dipanggil beri kenyataan

PETALING JAYA: Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar akan dipanggil untuk siasatan berhubung laporan yang dibuat terhadapnya oleh Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam berhubung kematian tahanan polis, A. Kugan.

Ketua Polis Daerah Sepang, Supt. Zahidi Ayub berkata, laporan Manikavasagam yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Brickfields Khamis lalu telah dipindahkan ke Sepang memandangkan kes berkenaan berlaku di Hospital Serdang.

Hospital Serdang berada di bawah bidang kuasa Polis Sepang.

"Kami sudah pun memulakan siasatan kami dan saya akan memanggil Khalid untuk diambil kenyataannya bagi membantu siasatan kami," katanya.

Khalid ketika dihubungi The Star berkata, beliau sedar siasatan sedang dijalankan dan akan memberikan kenyataan sepenuhnya.

"Memberikan kenyataan merupakan sebahagian daripada tugas kami," katanya.

Dalam laporannya, Manikavasagam dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengatakan bahawa Khalid menuduh keluarga Kugan dan 50 yang lain merempuh bilik mayat Hospital Serdang.

Beliau juga mengatakan bahawa Khalid mendakwa dua Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, T. Murugiah dan Datuk S.K. Devamany juga menyertai tindakan merempuh memandangkan rakaman DVD menunjukkan pembantu perubatan di bilik mayat yang membuka pintu dan membenarkan yang lain masuk. Kugan, 23, yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes curi kereta mewah di Sungai Chua, Kajang, ditemui mati dalam lokap di Balai Polis USJ, Subang Jaya pada 20 Janauri lepas.

Artikel Berikut

Artikel Lain