suria

Janji kerajaan BN bukan omong kosong - Pairin

TAWAU: Janji kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membawa pembangunan berterusan ke Sabah bagi faedah rakyat bukan cakapcakap kosong sebagaimana tanggapan sesetengah pihak, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan.

Beliau berkata penyaluran peruntukan RM200 juta oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri kepada Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (SDO) baru-baru ini bagi merancakkan lagi pembangunan di kawasan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) adalah bukti BN mengotakan janji.

Pairin, yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, berkata: "Bagi pihak rakyat kita gembiralah kerana kita sedia maklum dalam Koridor Pembangunan Sabah banyak yang akan kita laksanakan dan banyak wang yang kita perlukan untuk menjayakan program SDC.

"Apa yang kita terima inipun sebenarnya cuma sebahagian daripada keperluan (yang diperlukan membangunkan SDC) kerana pembangunan SDC ini akan mengambil masa 18 tahun, jadi ini adalah permulaan," katanya selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Parti Bersatu Sabah (PBS) di sini hari ini.

Pairin berkata demikian sebagai mengulas pengumuman ICU berhubung penyaluran RM200 juta kepada SDO iaitu sebahagian daripada peruntukkan khas RM1 bilion untuk Sabah, yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika melawat negeri itu pada Mei tahun lalu.

Pairin meminta semua lapisan masyarakat supaya mengambil bahagian secara aktif dalam pelaksanaan program-program pembangunan di Sabah dengan memberi input serta cadangan kepada kerajaan mengenai keperluan mereka. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain