suria

Jangan perkecil kekuatan Umno - Muhyiddin

TAWAU: Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan parti pembangkang termasuk PAS supaya tidak memperkecil kekuatan Umno walaupun beliau mengakui parti itu mempunyai kelemahan tertentu yang perlu diperbaiki.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata jatuh bangun kekuatan sesebuah parti merupakan perkara lumrah kerana ia berlaku kepada semua parti termasuk parti-parti pembangkang seperti PAS sendiri.

"Tidak apalah, itu pandangan beliau. Bagi kami, Umno merupakan sebuah parti yang sudah lama tertubuh dan kita masih mempunyai ahli lebih daripada tiga juta orang. Kalau dilihat dari sudut itu kita merupakan pertubuhan politik yang terbesar, katanya sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini yang menganggap Umno sebagai pokok yang hampir mati.

"Setiap pertubuhan politik ada musimnya. PAS pun begitu, Umno pun begitu juga. Ada waktu kita berada dalam keadaan yang kukuh, kadang-kadang kita menghadapi masalah.

"Pemimpin pembangkang tidak akan menghormati kita. Kita juga tidak mengharapkan mereka memberikan komen atau kenyataan yang positif walaupun dalam PAS dan komponen Pakatan Rakyat (PR) sendiri ada masalah," katanya selepas menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Umno Kalabakan di sini hari ini.

Muhyiddin berkata pandangan umum sama ada dari luar atau dari dalam parti Umno itu sendiri menganggap Umno masih sebuah pertubuhan politik yang berwibawa dan mempunyai kekuatan tersendiri meskipun beberapa kelemahan perlu dibaiki selaras dengan perubahan lanskap politik negara sekarang.

Katanya kekalahan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini tidak boleh dijadikan ukuran untuk menggambarkan secara keseluruhannya bahawa parti berkenaan sudah menjadi lemah dan tidak ada harapan untuk bangkit semula.

"Kita mengakui kelemahan yang kita hadapi tetapi itu tidak bermakna kita tidak ada harapan untuk bangkit semula.

"Kita sedar dan selepas pilihan raya umum kita membuat pembaharuan, perubahan dan reformasi dalaman. Ini sudah kita mulakan. Jadi jangan perkecilkan kekuatan Umno," katanya.

Katanya perubahan yang sedang dilakukan Umno dan BN ialah untuk menghantar mesej kepada rakyat bahawa Umno dan BN bukan pertubuhan politik yang statik tetapi sanggup melakukan perubahan sesuai dengan perubanan lanskap politik negara ini.

Muhyiddin berkata perjuangan Umno dan parti komponen BN yang mengamalkan perkongsian kuasa mementingkan kerjasama dalam membangunkan negara tidak seperti parti pembangkang yang lebih cenderung memperjuang kepentingan parti masing-masing sahaja.

"PAS dilihat sebagai pertubuhan politik yang hanya melihat soal kepentingan parti dia sahaja. Dia tidak mengambil kira yang lain seperti perkongsian (kuasa).

"Dalam Pakatan Rakyat pun mereka tak secocok dari segi dasar dan tindakan. Dilihat bersama tetapi apa kata orang 'tidur satu bantal mimpinya lain-lain' kerana mereka ada cita-cita masing-masing," katanya.

Muhyiddin yakin perubahan yang sedang dan bakal dilakukan dalam Umno dan BN akan dapat diterima rakyat seterusnya memberi kemenangan kepada BN dalam pilihan raya Umum ke-13 bagi membolehkan BN meneruskan jasa-jasanya bagi membangunkan negara lebih 50 tahun lalu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain