suria

Suami isteri ditahan edar air ketum

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan sepasang suami isteri yang dipercayai mengedar air ketum dalam satu serbuan di sebuah rumah di kawasan Bukit Tengah di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Dr. Mohd Shah Hussin Shah berkata dalam serbuan itu, pihaknya merampas 548 bungkusan plastik berisi air ketum yang bernilai RM3,000.

"Dipercayai kesemua bungkusan air ketum itu hendak diedarkan kepada pelanggan. Pasangan ini turut menanam pokok daun ketum di kawasan rumah mereka," katanya kepada pemberita dalam sidang media yang diadakan di sini hari ini.

Katanya polis menemui 10 batang pokok ketum di rumah pasangan itu dan memusnahkan kesemua pokok tersebut.

Selain bungkusan air ketum, polis turut merampas beberapa peralatan memproses daun ketum termasuk periuk dan dapur memasak.

"Selain itu, terdapat tiga tong berwarna biru, jingga dan putih untuk mengisi air ketum yang telah siap dibungkus," katanya.

Mohd Shah berkata air ketum yang diklasifikasikan sebagai salah satu jenis dadah dijual di pasaran gelap di sekitar daerah SPT pada harga antara RM3 hingga RM5 sebungkus.

Beliau berkata pasangan yang mempunyai anak berusia 10 tahun itu ditahan untuk disoal siasat dengan yang lelaki ditahan reman sehingga 2 Februari manakala isterinya dibebaskan hari ini.

Katanya pasangan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau keduaduanya sekali. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain