suria

Pasukan khas siasat dakwaan SPRM guna kekerasan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mewujudkan satu pasukan khas bagi menyiasat dakwaan bekas ahli jawatankuasa Umno Bahagian Maran berkaitan penggunaan kekerasan oleh pegawai SPRM semasa menjalankan siasatan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, SPRM berkata, pihaknya memandang serius dakwaan itu dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawainya yang terlibat sekiranya dakwaan itu berasas.

"SPRM juga memberi jaminan penyiasatan ini akan dilakukan secara profesional dan adil.

"Penyiasatan dalaman itu akan dipantau oleh Jawatankuasa Aduan yang dibentuk di bawah Seksyen 15 Akta SPRM 2009," katanya di sini hari ini.

SPRM menjelaskan, Jawatankuasa Aduan itu terdiri daripada lima ahli yang dilantik (bukan pegawai suruhanjaya) bagi memastikan sebarang aduan salah laku dikendalikan dengan bebas dan telus mengikut prosedur yang ditetapkan.

SPRM juga meminta polis mengambil tindakan segera ke atas laporan polis berhubung dakwaan itu yang dibuat oleh bekas Ahli Jawatankuasa Umno terbabit.

"Sekiranya dakwaan itu tidak benar dan berunsur fitnah, satu tindakan wajar diambil ke atas pengadu yang telah membuat laporan palsu itu," katanya.

Pegawai SPRM Pahang turut membuat laporan polis berikutan terdapatnya ugutanugutan bagi tujuan memburukkan imej SPRM kepada pihak tertentu.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan seorang pemimpin Umno Bahagian Maran, Pahang mendakwa beliau dipukul oleh pegawai SPRM di kepala, bahu dan perut semasa direman empat hari di Kuantan.

Beliau juga mendakwa dipaksa berbogel, berbaring dan bergolek di atas lantai selain diarah mencangkung sambil menyanyi lagu Negaraku berulang-ulang kali.

Selain itu beliau yang membuat laporan polis di Balai Polis Damansara mendakwa pegawai SPRM tersebut turut mengugut untuk menahan dan menyuruh isterinya berbogel sekiranya beliau enggan mengaku telah memberikan wang kepada beberapa anggota Umno. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain