suria

Kugan: BNBBC gesa elak SMS hasutan perkauman

KUALA LUMPUR: Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) telah meminta masyarakat India di negara ini supaya jangan bertindak emosi serta menghentikan penghantaran teks khidmat pesanan ringkas (SMS) berbau hasutan perkauman berhubung kes kematian A. Kugan.

Pengerusinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, ia adalah penting bagi mengelak keruntuhan harmoni dan perpaduan yang dipupuk dalam masyarakat pelbagai bangsa dan kaum di Malaysia.

"Biar kita melihat secara membina untuk bekerjasama bagi mengenal pasti faktor-faktor bersama yang akan mengubah prosedur polis berhubung tahanan dalam polis.

"Ia bukan untuk membahagi-bahagikan kesalahah tetapi menonjolkan pengajaran am yang membantu mencegah kemungkinan kematian seperti itu berulang pada masa depan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tiong berkata, wujud kebimbangan dari pelbagai aspek yang perlu diubah bagi membanteras sepenuhnya kematian dalam tahanan.

Katanya, proses pemilihan anggota polis perlu disemak semula bagi mencerminkan kualiti kelayakan dan keupayaan untuk berkhidmat kepada negara.

"Tenaga pengajar di akademi polis perlu disaring sebelum diterima bekerja dan semua pelatih polis tidak harus dibenarkan lulus secara automatik tetapi hanya mereka yang layak sahaja boleh keluar untuk berkhidmat," katanya.

Tiong berkata, anggota polis perlu juga didedahkan kepada kaedah baru soal siasat suspek tanpa kekerasan dengan bantuan pakar dari luar negara.

"Kami menggesa polis menjalankan siasatan secara adil atas kematian Kugan dan biar kita duduk bersama untuk mencari penyelesaian kekal bagi membanteras kejadian suspek mati dalam tahanan," katanya.

Kugan, 22, yang ditahan pada 15 Januari di lokap di Balai Polis Taipan, Subang Jaya, kerana disyaki terbabit dalam kecurian kereta mewah di Sungai Chua, Kajang, mati semasa disoal siasat pada 20 Jan lalu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain