suria

Hakim nasihat remaja tidak ulangi kesalahan

KUALA LUMPUR: "Ingat, setitik air mata ibu gugur ke bumi kerana perbuatan kamu, langit akan bergegar," nasihat hakim kepada seorang remaja berusia 16 tahun di Mahkamah Sesyen di sini agar tidak mengulangi kesalahannya sebelum melepaskannya dengan bon berkelakuan baik selama dua tahun.

Hakim Zainal Abidin Kamarudin melepaskan remaja itu mengikut Seksyen 91(1)b Akta Kanak-kanak setelah mendengar rayuan daripada remaja tersebut serta laporan akhlak dan meletakkannya di bawah jagaan ibunya.

Sebelum itu, ibu remaja yang didakwa dengan dua tuduhan iaitu merompak dua wanita di tangga jejantas LRT di sini dan gagal menunjukkan kad pengenalan, menangis teresakesak memohon kepada mahkamah agar melepaskan anaknya.

Remaja tersebut mengaku bersalah terhadap dakwaan bersama-sama dua orang yang masih bebas merompak Ariyantie Rahim, 23, dan Nur Aqilla Rahim, 20, sebuah telefon bimbit, pelbagai jenis kad dan wang tunai RM520 dengan bersenjatakan sebilah parang.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tangga jejantas LRT, Bandar Tasik Selatan, Cheras pada 7.45 pagi, 30 Okt 2008.

Tuduhan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Remaja itu juga mengaku bersalah terhadap tuduhan gagal menunjukkan kad pengenalan sewaktu ditahan di Pos Kawalan Perumahan Primary, Bandar Tun Razak, pada 12.50 tengah hari, 6 Nov lepas.

Zainal Abidin bagaimanapun memerintahkan remaja tersebut melaporkan diri di Jabatan Kebajikan Masyarakat, Hulu Langat sekali sebulan untuk pemantauan sebagai syarat tambahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Aishah K.M Abu Bakar manakala remaja tersebut tidak diwakili peguam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain