suria

Empat lelaki ditahan, polis rampas dadah bernilai RM84,447

IPOH: Polis menahan empat lelaki dan merampas dadah jenis heroin yang dianggar bernilai RM84,447 dalam serbuan di taman perumahan di Taman Tinggi di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak Supt Md Tahir Kasim berkata tiga lelaki ditahan di dalam sebuah kereta jenis Honda CRV di hadapan taman perumahan itu, manakala seorang lagi di tahan di sebuah rumah di taman itu.

Dalam serbuan pada pukul 11.48 pagi itu, polis turut merampas dua buah beg berisi dadah, wang tunai RM3,527 dan telefon bimbit, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Md Tahir berkata mereka yang ditahan itu dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di kawasan Ipoh dan Taiping.

Beliau berkata siasatan polis juga mendapati kesemua mereka mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

Kesemua mereka yang berusia antara 31 hingga 35 tahun itu ditahan reman selama lima hari bermula hari ini, katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain