suria

Edar Kokain: Warga peru dijatuhi hukuman mati

KUALA LUMPUR:Seorang warga Peru dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas dia didapati bersalah mengedar kokain, dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Azman Abdullah menjatuhi hukuman itu terhadap Amasifuen Tello Reyes, 30, selepas peguamnya gagal menimbulkan keraguan ke atas kes pendakwaan.

Rabu lepas, Azman memerintahkan Reyes membela diri selepas mahkamah mendapati pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap warga Peru itu yang didakwa mengedar kokain seberat 714 gram di tepi jalan dekat Jalan Sultan di sini kirakira 7.30 malam, 15 Mei 2007.

Menurut fakta kes, sepasukan polis yang bertindak atas maklumat, mengekori Reyes dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas dia tiba dengan menaiki penerbangan yang singgah dari Buenos Aires ke Singapura.

Pegawai polis menahan Reyes sejurus selepas dia keluar dari sebuah teksi namun mereka gagal memperoleh sebarang dadah daripadanya selepas melakukan pemeriksaan tubuh.

Reyes dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dan pemeriksaan Xray menunjukkan terdapat lebih 100 tiub kecil dalam perutnya.

Dia dimasukkan ke hospital selama empat hari untuk "mengeluarkan" tiub itu dan sejumlah 114 tiub dijumpai. Pemeriksaan lanjut menunjukkan tiub itu mengandungi kokain.

Peguam Tharamjit Singh yang mewakili Reyes memberitahu mahkamah anak guamnya itu menganggur hampir enam bulan selepas dia diberhentikan kerja di sebuah kilang di tempat asalnya dan dia dipujuk oleh sindiket dadah yang menawarkannya USD3,000.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fuad Othman berhujah undangundang amat jelas sama ada seseorang itu penduduk tempatan atau warga asing, dengan satusatunya hukuman kerana mengedar dadah ialah hukuman mati mandatori. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain