suria

Mesyuarat MT Umno bincang isu ADUN Bota

PETALING JAYA: Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang akan diadakan esok bakal membincangkan mengenai beberapa perkara termasuk perkembangan terkini apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim keluar daripada Barisan Nasional (BN) menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata mesyuarat bulanan MT Umno itu akan membincangkan mengenai pelbagai isu mengenai keadaan politik semasa.

Bagaimanapun beliau menafikan mesyuarat tersebut khusus bagi membincangkan mengenai tindakan Nasaruddin menyertai parti pembangkang pada Ahad lalu.

"MT adakan mesyuarat bulanan seperti biasa, bukan ada sebab-sebab tertentu atau kerana perkara-perkara tertentu.

"Tak ada apa yang boleh dibuat dengan ADUN Bota itu, mesyuarat ini bukan khusus bincangkan mengenai beliau," katanya kepada mStar Online.

Namun jelas Tengku Adnan, salah satu agenda pada mesyuarat tersebut akan turut membincangkan mengenai tindakan Nasaruddin itu.

"Kita akan bincang juga hal itu sebagai isu-isu berbangkit," katanya.

Tambah beliau lagi isu politik wang yang melibatkan beberapa pemimpin Umno yang kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan turut dibincangkan.

"Isu politik wang juga akan disentuh, tunggulah nanti apa perkembangannya," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain