suria

Malaysia kaji cara bawa pulang tahanan Guantanamo

PUTRAJAYA:Kementerian Luar akan membuat kajian secara komprehensif sebelum mengambil apa-apa langkah bagi memastikan dua rakyat Malaysia yang sedang ditahan di penjara tentera Guantanamo dapat dibawa pulang, berikutan arahan penutupan penjara itu oleh Presiden Amerika Syarikat (As) Barack Obama baru-baru ini.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata persediaan rapi bagi menguruskan perkara itu adalah perlu, termasuk mengarahkan pihak Kedutaan Malaysia di Washington untuk menguruskan hal berkaitan birokrasi.

"Wisma Putra akan cuba melandaskan usaha ini mengikut kehendak diplomatik yang sebenar dan selepas itu akan memberi nasihat kepada kerajaan kita apakah langkah-langkah spesifik yang boleh diambil.

"Walaupun perintah eksekutif telah ditandatangani oleh Obama, kes ini mungkin memakan masa yang agak lama namun kita akan cuba dapatkan keduadua mereka dan Wisma Putra akan membantu untuk mendapatkan kemudahan diplomatik dan hal berkaitan dalam bidang ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat pelantikan kepada wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Datuk Othman Hashim.

Dua rakyat Malaysia, Mohd Farik Amin atau Zaid (Zubair) dan Mohammed Nazir Lep atau Bashir Lep (Lillie) yang ditahan pada 2003 kerana didakwa terbabit dengan Jemaah Islamiah (JI) dan Al Qaeda, adalah antara 250 tahanan di penjara itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Sabtu lalu berkata Malaysia akan mendapatkan kebenaran daripada kerajaan AS bagi membolehkan pegawai polis negara ini berjumpa dengan keduadua tahanan itu, dan mahu keduaduanya menyambung hukuman di negara ini.

Sementara itu, Rais berkata kementerian akan menyelaraskan beberapa kursus survival sebagai persediaan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini yang ingin membantu negara-negara yang terlibat dalam peperangan.

Katanya beliau dimaklumkan terdapat beberapa sukarelawan yang membantu di Gaza tidak mempunyai kemampuan dari segi survival, akibat tidak pernah terdedah kepada suasana itu.

"Kita dimaklumkan bahawa banyak NGO di peringkat antarabangsa juga mempunyai masalah sama namun mereka ada skim latihan dan sebahagian besar pegawai mereka telah menjalani latihan itu, jadi kita akan cuba ketengahkan pengalaman yang diterima oleh Mercy Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah misalnya, sebagai petua-petua survival semasa di sana," katanya.

Dalam perkembangan lain, Rais berkata laporan Malaysia mengenai hak asasi manusia akan dibentang di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB 11 Feb ini, dan berharap ia akan mendapat penilaian yang setimpal dan adil, di sebalik cubaan beberapa pihak untuk menjatuhkan imej Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam). BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain