suria

Dipecat dari MIC: Muthu kemuka CWC rayuan

PETALING JAYA: Seminggu selepas dipecat dari parti, bekas Naib Presiden MIC, Datuk M. Muthuppalaniappan mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) pagi ini supaya mengkaji semula hukuman tersebut.

Difahamkan CWC dijadual mengadakan mesyuarat bulanannya esok.

Muthuppalaniappan berkata, beliau secara peribadi telah menghantar surat rayuan kepada ibu pejabat parti itu pagi tadi.

"Saya mengemukakan surat rayuan yang ringkas kepada CWC hari ini," kata beliau ketika dihubungi sebentar tadi.

Katanya, beliau menjelaskan beberapa sebab mengapa hukuman yang dikenakan ke atasnya wajar diketepikan.

"Dalam surat itu, saya mengatakan bahawa saya tidak diberikan peluang yang secukupnya untuk membela diri selain banyak bantahan yang dibangkitkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Disiplin juga ditolak," katanya.

Bekas Pengerusi MIC Negeri Sembilan itu, yang telah menyatakan hasrat untuk mencabar Datuk Seri S. Samy Vellu bagi jawatan Presiden tahun ini, telah dipecat dari parti minggu lalu.

Kelmarin, Samy Vellu mengatakan bahawa beliau tidak akan mempengerusikan mesyuarat CWC sekiranya ia dijadual mendengar rayuan Muthuppalaniappan.

Jawatankuasa Disiplin memberi tempoh 14 hari kepada beliau untuk membuat rayuan kepada CWC.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain