suria

MIC akan pertahan dua timbalan menteri jika didakwa

KUALA LUMPUR: MIC akan mempertahankan dua timbalan menteri jika pihak berkuasa mendapati mereka melanggar undang-undang dalam kejadian sekumpulan orang menceroboh bilik mayat Hospital Serdang pada Selasa lepas.

"Kami akan melantik seramai peguam yang boleh bagi mempertahankan mereka jika mereka didakwa di mahkamah," kata Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar kelmarin bahawa Datuk K. Devamany dan Senator T. Murugiah, kedua-duanya timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, kemungkinan menghadapi tindakan jika mereka didapati melanggar undang-undang dalam kejadian pencerobohan di bilik mayat itu bagi memeriksa mayat suspek curi kereta A. Kugan yang mati semasa dalam tahanan polis.

Presiden MIC itu berkata, adalah tidak penting kedua-dua timbalan menteri itu dari parti mana asalkan mereka berketurunan India "kerana MIC mewakili masyarakat India di Malaysia".

Sementara Devamany ialah anggota MIC, Murugiah pula dari Parti Progresif Penduduk (PPP).

Devamany merupakan antara sembilan orang yang disoal siasat oleh polis semalam berhubung kejadian itu. Juga dilaporkan 11 anggota polis yang sedang disiasat atas dakwaan mencederakan Kugan juga tidak akan terlepas daripada tindakan jika mereka didapati menyalahgunakan kuasa mereka.

Kugan, 22, yang ditahan pada 15 Jan di lokap balai polis Taipan di Subang Jaya kerana disyaki terlibat dalam kecurian kereta mewah di Sungai Chua, Kajang, mati semasa disoal siasat pada Selasa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar sebelum ini berkata bedah siasat mendapati Kugan mati akibat paru-paru berair tetapi keluarga Kugan mendesak diadakan bedah siasat kedua kerana mendakwa kematian Kugan akibat kecederaan.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail kemudiannya mengklasifikasikan kematian Kugan sebagai kes bunuh.

Samy Vellu juga menggesa Syed Hamid memastikan siasatan polis terhadap kematian Kugan dijalankan dengan telus.

"MIC akan memantau kes ini tetapi kami yakin polis tidak akan menyembunyikan apa-apa dalam penyiasatan mereka," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain