suria

Mayat dua beradik ditemui di dasar sungai

SUNGAI PETANI: Dua beradik yang dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Sidam di Kampung Kuala Sedim, Lubuk Tiab dekat sini semalam, ditemui mati lemas di sungai itu pagi ini.

Mayat Khuzainah Khalid, 18, dan adiknya Khuzaini, 16, ditemui pada pukul 8 pagi ini di dasar sungai kira-kira 20 meter dari tempat kejadian oleh sekumpulan penduduk kampung yang membantu gerakan mencari dan menyelamat.

Bapa dua beradik itu Khalid Mohamad Ali, 49, ketika ditemui berkata, mayat kedua-dua anaknya ditemui berhampiran antara satu sama lain oleh penduduk kampung yang menyelam ke dalam dasar sungai itu.

"Mayat kedua-dua anak saya dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani untuk bedah siasat dan akan dikebumikan petang ini juga," kata beliau di sini.

Pada kejadian pukul 2.30 petang semalam, kedua-dua beradik itu yang bercuti bersama keluarga di kebun bapa mereka di kampung itu dilaporkan hilang sebaik sahaja turun ke dalam sungai berkenaan untuk mandi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain