suria

Kes Kugan: Pewaris minta Samy nasihati masyarakat India tidak demontastrasi

KUALA LUMPUR: Majlis Pemuafakatan Ummah (Pewaris) menggesa Presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu serta dua timbalan menteri meminta masyarakat India supaya jangan terlibat dalam demonstrasi yang dirancang pihak tertentu semasa upacara pengkebumian bekas tahanan polis A. Kugan esok.

Timbalan Pengerusi II Pewaris, Rahimuddin Md Harun berkata, ini perlu bagi membuktikan bahawa Samy Velu serta dua Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T Murugiah dan Datuk K Devamany, merupakan pemimpin yang peka dengan sensitiviti perkauman di negara ini.

"Mereka perlu membuat pengisytiharan itu kepada masyarakat India agar tidak berkumpul beramai-ramai atau berarak sehingga menimbulkan huru-hara pada majlis pengebumian mendiang esok," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang membawa sepanduk atau mengadakan demonstrasi ketika perarakan majlis pengkebumian Kugan di Batu 14 Puchong esok.

Rahimuddin menyeru mana-mana parti politik, badan bukan kerajaan dan orang perseorangan supaya tidak memperbesarkan isu kematian Kugan sebagai isu perkauman yang boleh menjejas perpaduan kaum.

Kugan, 22, yang ditahan pada 15 Januari di lokap Balai Polis Taipan kerana disyaki terlibat dalam kes curi kereta mewah di Sungai Chua, Kajang, ditemui mati pada 20 Jan semasa dalam siasatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain