suria

Hubungan Umno-Gerakan Pulau Pinang kembali jernih

PULAU PINANG: Sambutan Tahun Baru Cina kali ini dilihat mungkin menjadi titik permulaan yang akan menjernihkan kembali hubungan Umno dan Gerakan Pulau Pinang yang agak keruh sebelum ini.

Atas semangat setiakawan dan menghormati rakan dalam komponen Barisan Nasional (BN), para pemimpin Umno negeri turut sama-sama meraikan rakan mereka itu pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Gerakan Pulau Pinang di ibu pejabat parti di Jalan Macalister, di sini hari ini.

Hubungan Umno dan Gerakan Pulau Pinang dikatakan agak renggang berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang dianggap menyinggung perasaan masyarakat Cina di negara ini semasa berceramah pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, Ogos lalu.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim ketika ditanya pemberita sama ada kehadiran pemimpin Umno pada majlis itu menandakan mereka telah berdamai, berkata Umno tidak pernah bersengketa malahan menghormati semua parti dalam komponen BN dan setiap kaum di negara ini.

"Cuma dalam hal ini (kenyataan Datuk Ismail) Gerakan yang marahkan Umno dan kemudian memutuskan hubungan di peringkat negeri. Kita harap kerjasama antara kedua-dua parti akan lebih harmoni sempena tahun baru ini dan hubungan kami lebih jernih," katanya.

Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon pula berkata kehadiran pemimpin Umno Pulau Pinang pada majlis rumah terbuka itu merupakan permulaan yang baik dalam semangat perayaan dan perpaduan.

Katanya Umno dan Gerakan Pulau Pinang sebenarnya mempunyai hubungan sebagai kawan, bagaimanapun berikutan beberapa perkara yang tidak disenangi membuatkan timbul masalah dalam hubungan itu.

"Sebenarnya kerjasama yang wujud antara Umno dan Gerakan dalam konteks Barisan Nasional (BN) di peringkat kebangsaan memang sangat kukuh.

"Bagaimanapun di Pulau Pinang, kita akan ambil masa untuk memulihkannya dan kehadiran mereka (pemimpin Umno) merupakan satu permulaan yang baik dalam semangat perayaan serta perpaduan," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Pengerusi Perhubungan MCA Pulau Pinang Datuk Liow Tiong Lai dan Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang (PCTH) Tan Sri Lim Gait Tong. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain