suria

Kes Kugan: Keluarga 'lega' hasil awal bedah siasat kedua

BAPA A. Kugen, Ananthan (dua dari kanan) bersama isterinya, N. Indra (tiga dari kanan) di bilik mayat Pusat Perubatan Universiti Malaya malam tadi. - foto The Star oleh MOHD SAHAR MISNI
BAPA A. Kugen, Ananthan (dua dari kanan) bersama isterinya, N. Indra (tiga dari kanan) di bilik mayat Pusat Perubatan Universiti Malaya malam tadi. - foto The Star oleh MOHD SAHAR MISNI
BAPA A. Kugen, Ananthan (dua dari kanan) bersama isterinya, N. Indra (tiga dari kanan) di bilik mayat Pusat Perubatan Universiti Malaya malam tadi. - foto The Star oleh MOHD SAHAR MISNI

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Keluarga suspek polis yang meninggal dunia ketika ditahan di lokap Balai Polis di Subang Jaya Selasa lalu, "gembira" dengan hasil awal bedah siasat kedua yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) semalam.

Keluarga dan pasukan peguam telah diberikan penjelasan oleh doktor yang membedah siasat mayat A. Kugan selama tujuh jam bermula pukul 2.30 petang semalam.

"Anggota keluarga, peguam dan saya gembira dengan hasil siasatan... kami okey, okey dengan penjelasan yang diberikan oleh pakar bedah siasat, Dr. Prasant," kata Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam ketika dihubungi lewat malam tadi.

"Setakat ini, saya hanya boleh mengatakan yang kami gembira dengan hasil bedah siasat awal ini," katanya lagi.

Tegasnya, beliau tidak boleh memberikan komen selanjutnya sehingga menunggu tindakan susulan yang akan diumumkan Rabu ini.

Anggota keluarga berkenaan diberikan penjelasan kira-kira 40 minit bermula pukul 10 malam tadi sebaik hasil bedah siasat berakhir.

Seramai lima anggota keluarga termasuk ibu bapa Kugan diberikan penjelasan oleh pakar bedah berkenaan. Turut hadir ialah tiga peguam keluarga itu, Gobind Singh, N. Surendran dan M. Manogaran.

Bagaimanapun Manikavasagam yang turut hadir dalam penjelasan itu memberitahu, pihaknya belum menerima laporan bertulis, yang dikeluarkan dalam waktu terdekat.

"Laporan bertulis akan diberikan dalam masa terdekat... ujian-ujian lanjut juga akan dijalankan ke atas sampel," katanya.

Katanya lagi, mayat Kugan akan diperoleh Rabu ini untuk upacara pengebumian.

"Untuk tindakan lanjut kami, saya berharap anda akan menunggu hingga Rabu ini," kata beliau lagi.

Terdahulu pada sidang media di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong berkata: "Pakar bedah telah menjelaskan beberapa penemuan kepada kami tetapi kami tidak akan membuat kenyataan lanjut mengenainya sehingga Rabu ini."

"Kami juga dimaklumkan bahawa beberapa sampel akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut," katanya.

Laporan Bernama awal pagi tadi menyebut, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator T Murugiah berkata permohonan keluarga mangsa supaya diadakan bedah siasat kedua, berjaya dilakukan setelah kes itu dimajukan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

"Semalam keluarga Kugan menghubungi saya dengan mengatakan mereka berhadapan dengan kesulitan dalam permohonan bedah siasat kedua. Lalu saya hubungi Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khalid Nordin untuk berbincang perkara ini.

"Kemudian saya hubungi TPM dan mendapat jaminan daripada beliau bahawa bedah siasat kali kedua akan dijalankan seperti kehendak keluarga Kugan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di PPUM.

Dalam pada itu, Murugiah ketika dihubungi berkata, beliau telah menunjukkan gambar yang diambil di bilik mayat kepada Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya petang tadi.

"Timbalan Perdana Menteri menjanjikan akan mengambil tindakan dalam isu ini," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain