suria

'Saya tidak akan mohon maaf' - Ketua Polis Selangor

PETALING JAYA: Ketua Polis Selangor sama sekali tidak akan memohon maaf kepada T. Murugiah berikutan kenyataannya bahawa Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu telah 'menceroboh' bilik mayat Hospital Serdang, yang menempatkan mayat suspek yang mati ketika disoal siasat.

Justeru, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, terpulang kepada Murugiah jika ingin menyaman berhubung kenyataan itu kerana beliau hanya menjalankan tugasnya selaku Ketua Polis Selangor.

"Terpulang kepada beliau (Murugiah) mahu saman atau tidak kerana saya hanya menjalankan tugas saya.

"Saya rasa saya juga tidak perlu memohon maaf. Apa yang saya boleh katakan, saya hanya menjalankan tugas dalam bidang kuasa saya, itu sahaja," katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Semalam, Murugiah berkata, beliau sedang mempertimbangkan untuk menyaman Khalid kerana dikatakan telah mengeluarkan kenyataan bersifat memfitnah beliau berhubung isu kematian tahanan polis, A. Kugan awal minggu ini.

Murugiah berkata, kenyataan Khalid Khamis lalu yang mengatakan tindakan beliau dan rakan sejawatnya, K. Devamany dari MIC, memasuki bilik mayat Hospital Serdang bagi melihat keadaan mayat tahanan pada awal pagi Rabu lalu, kononnya menjejaskan bukti telah merosakkan reputasinya sebagai anggota Kabinet.

Kugan, 22, mati secara mengejut dalam tahanan di Balai Polis USJ 8 pada pukul 11 pagi Selasa lalu setelah direman sejak minggu lalu kerana didakwa terlibat dalam kes samun kereta mewah.

Kematian Kugan bagaimanapun menimbulkan syak wasangka di kalangan orang ramai.

Jumaat lalu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail telah meminta polis mengklasifikasikan kematian Kugan sebagai kes bunuh bagi tujuan penyiasatan.

Abdul Gani berkata, beliau telah menyatakan cadangan itu kepada Timbalan Ketua Polis, Tan Sri Ismail Omar setelah meneliti kertas siasatan dan gambar mayat Kugan.

Artikel Lain