suria

Musa: Tiada perselisihan antara Pairin-Kurup

KENINGAU: Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman hari ini menepis wujud perselisihan di antara Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan dan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup seperti disiarkan media kebelakangan ini.

Musa yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata: "Tidak ada apa-apa perselisihan faham di antara Pairin dan Kurup, apa yang berlaku di antara mereka adalah lebih kepada keprihatinan mereka terhadap BN khususnya di Pensiangan."

Bercakap kepada pemberita selepas sesi taklimat banjir kilat di daerah Keningau di sini, Ketua Menteri berkata beliau telah berjumpa dengan kedua-dua pemimpin sebelum taklimat itu dan mengadakan perbincangan kirakira 15 minit dengan mereka.

Pertikaian di antara kedua-dua pemimpin tersebut dikatakan bermula berikutan kenyataan Pairin bahawa pemilihan calon BN bagi kerusi Parlimen Pensiangan, jika berlaku pilihan raya kecil nanti, tidak seharusnya secara automatik.

Kurup yang tidak menyenangi kenyataan Pairin, mencabar beliau untuk berdebat mengenai isu tersebut.

Dalam pada itu, Musa berkata, soal pemilihan calon bagi kerusi Pensiangan belum diputuskan kerana kes rayuan Kurup masih belum diputuskan mahkamah.

"Siapa saja calon BN yang bertanding (jika diadakan pilihan raya kecil), semua komponen BN Sabah akan berganding bahu bagi menentukan kemenangan besar kepada calon BN... jadi soal (pemilihan) calon tidak timbul di Pensiangan," katanya.

Pada 8 September tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengisytiharkan kemenangan tanpa bertanding Kurup di kawasan Pensiangan pada pilihan raya umum 8 Mac tahun lepas sebagai batal dan tidak sah.

Kurup kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan pada 11 September tahun lepas terhadap keputusan itu. BERNAMA

Artikel Lain