suria

Kes Kugan: Timbalan menteri antara 9 beri keterangan polis

[DIKEMAS KINI, 8.30 MALAM] PETALING JAYA: Seorang timbalan menteri dan Ahli Parlimen Kapar merupakan antara sembilan yang dipanggil untuk memberi keterangan kepada Polis Selangor hari ini berhubung insiden 'menceroboh' bilik mayat Hospital Serdang dalam kes kematian suspek semasa dalam tahanan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S. K. Devamany dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dan beliau tiba pada 4.15 petang diikuti oleh Ketua Pemuda MIC, T. Mohan lima minit kemudian.

Mereka meluangkan masa kira-kira sejam untuk memberikan keterangan kepada Pegawai Penyiasat kes.

Sementara itu, mayat suspek berkenaan, A. Kugan pula sedang dibedah siasat buat kali kedua di Pusat Perubatan Universiti Malaya - bermula pukul 11 pagi tadi.

Proses itu dijangka hanya akan berakhir 11 jam kemudian.

"Bedah siasat kedua ini akan mengambil masa kira-kira 11 jam," kata Manikavasagam ketika dihubungi sebentar tadi.

Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, beliau telah berada di Ibu Pejabat Polis Sepang selama 45 minit untuk memberikan kenyataannya.

"Mereka mahu mendapatkan keterangan saya tentang apa yang berlaku di milik mayat di Hospital Serdang, yang dikatakan diceroboh oleh kami," katanya.

Jelas beliau, polis mengambil keterangan bermula pukul 11.45 pagi.

"Saya menjelaskan bahawa kami tidak ceroboh sebaliknya pegawai perubatan yang membenarkan kami masuk selepas diminta oleh ahli keluarga.

"Saya juga telah menyatakan kesediaan untuk membekalkan polis dengan rakaman video jika perlu," kata beliau sambil menambah, pihaknya turut hairan dengan tindakan pegawai perubatan Hospital Serdang yang mengambil masa tujuh jam untuk membuat laporan polis kononnya ada berlaku pencerobohan.

Manikavasagam ditemani oleh peguamnya, M. Manogaran ketika memberikan keterangan.

Turut memberikan kenyataan ialah seorang peguam N. Surendran yang turut berada di kawasan bilik mayat itu.

"Saya difahamkan penyelaras Pemuda MIC, T. Mohan dan dua wartawan dari akhbar Tamil juga dipanggil untuk memberikan kenyataan hari ini," katanya lagi.

Pada Khamis lalu, Ketua Polis Selangor, Khalid Abu Bakar berkata, dua timbalan menteri akan dipanggil kerana dipercayai telah 'berada' dalam bilik mayat Hospital Serdang berhubung kematian Kugan semasa dalam tahanan.

Menurut beliau, tindakan mereka memasuki bilik mayat Hospital Serdang dipercayai telah menjejaskan bukti yang boleh membantu siasatan kes berkenaan.

Kedua-dua mereka ialah K. Devamany dari MIC dan T. Murugaiyah dari Parti Progresif Rakyat (PPP) - kedua-duanya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Penolong pegawai perubatan Hospital Serdang, Mohamed Azharuddin Abdul Ghani membuat laporan mengenai insiden itu dengan mendakwa dia dan dua kakitangan lain telah dipaksa keluar dari bilik mayat oleh sekumpulan mereka yang datang kira-kira pukul 11.30 malam.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 451 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi jenayah intimidasi.

Suspek Kugan, 23, mati di Balai Polis USJ 8 Subang Jaya dan menimbulkan syak wasangka di kalangan orang ramai.

Kugan, yang ditahan bagi membantu siasatan kes curi kereta mewah mati secara tiba-tiba ketika sedang disoal siasat.

Bernama memetik Surendran berkata, laporan daripada atendan hospital berkenaan dengan jelas mengatakan bahawa pintu bilik mayat telah dibuka untuk membolehkan anggota keluarga mangsa masuk.

"Waris si mati berhak dan mempunyai kuasa ke atas mayat si mati.

"Mereka berhak untuk melihat, mengambil gambar atau membuat apa yang mereka mahukan. Mengikut undang-undang, mayat si mati adalah milik keluarga atau waris si mati," katanya.

Turut dipanggil memberi keterangan ialah dua wartawan, masing-masing dari akhbar Tamil Nesan dan Makkal Osai, serta seorang editor, juga dari akhbar Tamil Nesan.

BERITA TERDAHULU

'Ceroboh' bilik mayat: MP Kapar juga dipanggil Polis Selangor

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam turut dipanggil oleh Polis Selangor berhubung insiden 'menceroboh' bilik mayat Hospital Serdang dalam kes kematian seorang suspek semasa dalam tahanan Selasa lalu.

Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, Polis Selangor telah menghubunginya pagi semalam untuk mendapatkan kenyataan.

"Bagaimanapun saya telah memaklumkan akan jumpa mereka pagi esok (hari ini) kerana ada urusan hari ini," kata beliau ketika dihubungi, semalam.

Bekas Timbalan Pengerusi PKR Selangor itu berkata, beliau akan hadir di Ibu Pejabat Polis Sepang pagi ini.

Kelmarin, Ketua Polis Selangor, Khalid Abu Bakar berkata, dua timbalan menteri akan dipanggil kerana dipercayai telah 'berada' dalam bilik mayat Hospital Serdang berhubung insiden kematian seorang suspek semasa dalam tahanan.

Menurut beliau, tindakan mereka memasuki bilik mayat Hospital Serdang dipercayai telah menjejaskan bukti yang boleh membantu siasatan kes berkenaan.

Kedua-dua mereka ialah K. Devamany dari MIC dan T. Murugaiyah dari Parti Progresif Rakyat (PPP) - kedua-duanya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Penolong pegawai perubatan Hospital Serdang, Mohamed Azharuddin Abdul Ghani membuat laporan mengenai insiden itu dengan mendakwa dia dan dua kakitangan lain telah dipaksa keluar dari bilik mayat oleh sekumpulan mereka yang datang kira-kira pukul 11.30 malam.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 451 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi jenayah intimidasi.

Suspek A. Kugan, 23, mati di Balai Polis USJ 8 Subang Jaya dan menimbulkan syak wasangka di kalangan orang ramai.

Kugan, yang ditahan bagi membantu siasatan kes curi kereta mewah mati secara tiba-tiba ketika sedang disoal siasat.

Kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 11 pagi ketika lelaki itu disoal siasat berhubung kes samun dan curi kereta mewah membabitkan kumpulan yang bergerak aktif di sekitar Lembah Klang.

Manikavasagam berkata, pihaknya mempunyai bukti untuk menunjukkan bahawa bilik mayat tidak diceroboh oleh mereka dan 50 yang lain, sebaliknya telah dibenarkan masuk oleh pegawai perubatan.

"Apabila dibenarkan kami masuk... saya tiba pada pukul 10 malam selepas diminta bantu oleh keluarga mangsa dan dua jam kemudian Murugiah pun datang," kata beliau yang berada di Pusat Perubatan Universiti Malaya ketika dihubungi untuk menguruskan proses bedah siasat kali kedua ke atas mayat suspek.

Artikel Lain