suria

Malaysia akan dapatkan maklumat dua tahanan Guantanamo

DUBAI: Malaysia akan mendapatkan kebenaran daripada kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk membolehkan pegawai polis negara ini berjumpa dengan dua rakyat Malaysia yang sedang ditahan di penjara tentera Guantanamo yang telah diarahkan ditutup oleh Presiden Barack Obama, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, Malaysia ingin tahu apa yang akan terjadi kepada dua warganegaranya itu yang merupakan antara kira-kira 250 tahanan di penjara kontroversi Guantanamo, kebanyakan telah ditahan beberapa tahun tanpa perbicaraan.

"Jika boleh, kita mahu membawa mereka pulang ke tanah air supaya mereka boleh menyambung menjalani hukuman mereka di Malaysia," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan rasmi beliau ke Emiriyah Arab Bersatu di sini, semalam.

Abdullah turut menyambut baik keputusan Presiden Amerika Syarikat yang baru itu untuk menutup penjara di Guantanamo dalam tempoh setahun.

"Keputusan Presiden Obama dialu-alukan oleh banyak negara dan Malaysia juga gembira kerana beliau telah menunaikan janjinya," katanya.

Selain menutup penjara Guantanamo, Obama yang mahu memulihkan imej AS di mata dunia turut mengarahkan agar dihentikan soal siasat secara kejam terhadap suspek pengganas. BERNAMA

Artikel Lain