suria

Kugan: Pasukan Khas Bukit Aman mula rekod keterangan

PETALING JAYA: Pasukan siasatan khas Bukit Aman telah mula merekod keterangan anggota polis yang bertugas ketika A. Kugan mati semasa dalam tahanan polis di Subang Jaya pada Selasa lepas.

Pasukan tersebut yang diketuai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Shatar Abdul Jalil, mula merekod keterangan daripada 11 anggota polis yang terbabit bermula pada Rabu.

"Mereka (polis) ini berusia 25 hingga 30 tahun dan dari daerah Subang Jaya serta berpangkat konstabel hingga lans koperal. Pasukan khas mengambil keterangan mereka di pelbagai lokasi termasuk di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

"Laporan lengkap keterangan mereka akan siap dalam masa terdekat dan pihak polis memberi jaminan tiada 'cover-up' dalam siasatan ini. Kes mendapat perhatian pelbagai pihak, berilah kami masa untuk siasat," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Khalid berkata, penubuhan pasukan khas itu dapat membantu polis mencari maklumat berhubung dakwaan keluarga Kugan bahawa dia mati akibat dipukul anggota polis yang terbabit.

Sementara itu, Khalid berkata, laporan rasmi daripada Hospital Serdang berhubung kesan luka dan kecederaan pada beberapa bahagian badan Kugan, akan diperoleh dalam masa sehari dua lagi.

"Semalam kita hanya dapat keputusan bedah siasat dan kini pihak polis tunggu punca wujudnya luka dan kecederaan pada badan dan muka Kugan. Kita akan umumkan kepada media nanti," katanya.

Ketika ditanya mengenai keputusan keluarga Kugan supaya bedah siasat kedua dilakukan selepas mereka tidak berpuas hati dengan keputusan bedah siasat bahawa kematian Kugan disebabkan jangkitan paru-paru, Khalid menjawab: "Polis tidak akan pohon untuk bedah siasat kedua dan tiada peruntukan undang-undang untuk kita buat sedemikian.

"Tetapi kita tidak halang keluarga mangsa untuk mendapatkan perintah mahkamah untuk buat bedah siasat kedua. Tetapi saya tidak pasti sama ada mereka akan puas hati dengan keputusan yang itu," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Khalid berkata polis masih belum mengambil keterangan daripada dua orang timbalan menteri persekutuan, Senator T. Murugiah dan Datuk K. Devamany, yang dikatakan berada di bilik mayat Hospital Serdang kelmarin ketika keluarga mangsa menyerbu serta menceroboh bilik mayat untuk melihat mayat Kugan.

Beliau berharap pengambilan keterangan kedua-dua timbalan menteri dapat dipercepatkan agar siasatan kes ceroboh dapat diselesaikan segera.

Berhubung kehadiran Pasukan Polis Persekutuan (FRU) kelmarin ketika mayat Kugan dibawa ke tanah perkuburan Batu 14 Puchong, Khalid menjelaskan ia adalah sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini.

Kugan, 22, ditahan reman sejak minggu lepas kerana didakwa terlibat dalam kes samun kereta mewah, sebelum meninggal dunia ketika dalam tahanan di lokap Balai Polis USJ 8, Subang Jaya pada 11 pagi Selasa lepas.

Keluarganya yang tidak berpuas hati dengan kematian Kugan mendakwa dia didera polis kerana ada banyak kesan kecederaan pada tubuhnya walaupun laporan bedah siasat menunjukkan kematiannya akibat paru-paru berair. BERNAMA

Artikel Lain