suria

Senjata api tiruan dirampas di kedai kraftangan

BATU PAHAT: Polis merampas pelbagai senjata api tiruan bernilai RM13,000 selepas menyerbu empat kedai kraftangan di Ayer Hitam, di sini dua hari lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata polis menahan dua lelaki berumur 30 dan 63 tahun serta dua wanita berumur lingkungan 21 hingga 51 tahun, dalam serbuan itu.

"Pemeriksaan di keempat-empat premis itu menemui lebih seratus senjata api tiruan termasuk empat pistol tiruan jenis Air Soft Gun P.820, dua pistol tiruan jenis Soft Gun M92F1 dan empat laras Air Soft Gun M360A," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Mokhtar berkata pemeriksaan mendapati kesemua senjata tiruan yang boleh mendatangkan kecederaan itu diimport dari China sebelum dijual dengan harga RM50 hingga RM200 setiap satu.

Beliau berkata mengikut rekod terdapat enam kes samun menggunakan objek menyerupai pistol dilaporkan berlaku di Johor sejak awal bulan ini dengan lima daripadanya berlaku di Batu Pahat.

"Senjata api tiruan banyak digunakan oleh penjenayah bagi melakukan samun dan menakutkan mangsa. Memiliki dan mengimport senjata tiruan tanpa lesen adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960 yang boleh dipenjara atau didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan," katanya.

Dalam kes lain, Mohd Mokhtar berkata polis berjaya menumpaskan kumpulan samun di kalangan pendatang asing dengan penahanan empat lelaki Indonesia di Taman Rekamas dan kebun kelapa sawit Empangan Macap, dekat Simpang Renggam, Jumaat lepas.

Beliau berkata polis merampas pelbagai hasil samun dan senjata yang digunakan dalam jenayah itu termasuk rantai, telefon bimbit, kamera, sebuah motosikal, pisau, parang, pemotong besi dan gergaji besi dari kumpulan itu.

Katanya, siasatan mendapati kesemua lelaki berumur 19 hingga 25 tahun itu melakukan sekurang-kurangnya lima kes samun di sekitar Kluang dan Kulai Jaya dan kesemua mereka kini direman untuk disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(3) Akta Imigresen. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain