suria

Semakan tambang dijangka umum Mac depan

KUALA LUMPUR: Kadar baru tambang bas dan teksi dijangka diumumkan suku pertama tahun ini dengan mengambil kira kepentingan penumpang dan operator pengangkutan awam terbabit, kata Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Datuk Markiman Kobiran.

Beliau berkata kertas cadangan semakan tambang yang disediakan LPKP telah diserahkan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi awal bulan ini.

"Datuk Noh Omar (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) akan mendapatkan maklum balas daripada Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebelum beliau membentangkan semakan tambang itu kepada Kabinet dijangka bulan depan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau mengulas tarikh semakan tambang pengangkutan awam diumumkan selepas perkembangan terkini harga bahan api yang menurun dan beberapa faktor lain yang mempengaruhi kenaikan kos operasi pengusaha bas serta teksi.

"Pendekatan dalam kertas cadangan itu ialah bagaimana kualiti perkhidmatan pengangkutan awam dapat ditingkatkan melalui semakan tambang dengan fokus memberi kepuasan kepada pengguna.

"Kepentingan pengusaha bas dan teksi juga tidak akan diketepikan kerana kita sedar kali terakhir semakan tambang dibuat adalah pada 2005," kata Markiman, merujuk pada ketika itu harga subsidi diesel adalah 65 sen seliter berbanding RM1.43 sen sekarang.

Semalam, Noh dilaporkan berkata syarikat bas ekspres, bas henti-henti, bas sekolah dan teksi meminta kenaikan antara 60 dan 100 peratus ekoran kenaikan kos alat ganti seperti tayar, minyak hitam dan bateri selain insurans serta upah pekerja.

Dalam satu menyuarat Noh bersama 33 syarikat pengangkutan awam termasuk persatuan pengguna seperti Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) pada 20 Jan lepas, kerajaan dilaporkan secara dasarnya bersetuju memberi kenaikan tambang 30 peratus.

"Keputusan muktamad akan diumumkan menteri selepas mendapat persetujuan Kabinet. Kita juga tidak akan melayan sebarang bentuk ugutan untuk menaikkan tambang sesuka hati sehingga membebankan pengguna," kata Markiman.

Ketika ini tambang bas, khususnya bas ekspres, masih kekal dengan surcaj 30 peratus sejak musim perayaan Oktober lepas dilanjutkan sehingga semakan tambang baru diumumkan.

Ini bermakna seseorang penumpang dewasa perlu membayar RM39.10 bagi perjalanan sehala dari ibu negara ke Alor Setar, Kedah, berbanding RM30 bagi perjalanan sama sebelum Oktober tahun lepas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain