suria

Polis rampas empat batang pokok ganja

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki juruteknik komputer dan seorang wanita pegawai perhubungan pelanggan (GRO) dan merampas sejumlah ganja serta empat batang pokok ganja dalam satu serbuan di sini Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur ACP Kang Chez Khiang berkata lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di sebuah stesen minyak di Jalan Kuching manakala wanita berusia 29 tahun itu pula ditahan di sebuah kondominium di Mont Kiara.

Juruteknik itu ditahan pada pukul 10.20 malam dalam sebuah Honda Civic dan ditemui bersamanya tiga ketulan ganja mampat seberat 0.832 kilogram.

"Suspek kedua ditahan di kediaman wanita itu dan polis menemui 10 paket kecil tumbuhan kering yang disyaki ganja seberat 0.088 kilogram serta empat batang pokok ganja yang berketinggian empat inci hingga 12 inci, yang ditanam di dalam pasu kecil yang disembunyikan di dalam beg pakaian," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua suspek itu dipercayai baru tiga bulan bergiat dalam aktiviti pengedaran dadah dan percaya mempunyai pembekal dari negara jiran.

"Ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek, yang merupakan rakan niaga, menghasilkan keputusan positif dadah," katanya.

Mereka ditahan reman sehingga 27 Jan bagi membantu siasatan polis. Kedua-dua suspek itu ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati. Sementara itu, dalam serbuan berasingan polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun dan seorang wanita warga negara China berusia 27 tahun di hadapan Bangunan Teong Kin Chai, Jalan Pudu pada Ahad lepas juga kerana memiliki dadah.

"Serbuan dibuat pada pukul 7 malam dan polis merampas enam paket dadah ketamin seberat 33.1 gram, dua paket dadah jenis syabu seberat 4.7 gram dan 50 biji pil Eramin 5," katanya.

"Ujian air kencing suspek lelaki itu menghasilkan keputusan positif dadah jenis Methamphetamine manakala wanita itu pula berkeputusan negatif," katanya.

"Lelaki itu kini ditahan reman selama tujuh hari bermula Ahad lepas dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Wanita itu dibebaskan dengan jaminan polis. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain