suria

Kerajaan lulus konsert Rihanna 13 Feb ini

KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan penganjuran konsert Rihanna, yang akan diadakan 13 Februari ini di Stadium Putra Bukit Jalil, walaupun Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan membantah konsert itu.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Mohd Shafie Apdal berkata: "Mereka (Dewan Pemuda PAs) boleh bantah tapi keputusan akhir di tangan kementerian."

Beliau berkata, apa yang penting ialah pihak penganjur telah memenuhi semua syarat yang ditetapkan kementerian.

"Perkara utama yang kami lihat ialah sama ada konsert itu selaras dengan budaya Malaysia, tetapi memandangkan industri hiburan sangat dinamik dan kreatif, kita perlu membenarkan rakyat kita mendapat akses untuk itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan sambutan Tahun Baru China 2009 di sini, hari ini.

Selasa lepas, Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan menyuarakan rasa kesal terhadap syarikat komunikasi tempatan menganjurkan konsert 'Rihanna Live in Kuala Lumpur'.

Mengenai penyiaran berita wilayah selama 30 minit bermula 1 Feb ini oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM), Shafie berkata, perkara itu satu perkembangan yang sihat untuk membolehkan kerajaan memaparkan berita dari negeri khususnya di Sabah dan Sarawak.

"Penyiaran ini membolehkan masyarakat di seluruh negara tahu perkembangan di negeri-negeri ini (Sabah dan Sarawak) kerana kita perlu menghebahkan perkara sebenar yang berlaku di sana," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain