suria

Empat suspek kes bunuh pelajar Somalia ditangkap

KUALA LUMPUR: Empat suspek kes bunuh seorang pelajar Somalia, yang dibelasah hingga mati pada Rabu lepas di Seksyen 2, Wangsa Maju, diberkas polis dalam beberapa serbuan di sekitar Wangsa Maju di sini sejak hari kejadian.

Polis percaya dengan penangkapan keempat-empat suspek ini, kes pembunuhan Kadar Abdul Kadir Said, 22, berjaya diselesaikan dalam tempoh yang singkat.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi, mangsa yang ketika itu bersama tiga lagi rakannya yang juga warga Somalia sedang berjalan pulang dari sebuah kafe siber ke Kondominium Menara Alpha di Seksyen 2 sebelum ditahan sekumpulan lelaki tempatan.

Keempat-empat mereka diperas ugut oleh kumpulan berkenaan dan diminta menyerahkan wang tunai serta barang berharga milik mereka, bagaimanapun kesemua suspek naik berang apabila mangsa memberitahu bahawa mereka tidak mempunyai wang.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan memberitahu pemberita di sini, perkelahian dan pergaduhan tercetus apabila suspek tidak berpuas hati dengan 'hasil' yang diperoleh lalu bertindak menyerang pelajarpelajar dari Somalia itu.

"Tiga rakan mangsa berjaya melarikan diri manakala Kadar yang merupakan pelajar tahun kedua jurusan Pengurusan Perniagaan di Kolej Universiti Insaniah di Alor Setar, Kedah, tidak sempat melarikan diri sebelum dipukul dengan objek keras oleh penyerang hingga dia pengsan.

"Kesemua suspek melarikan diri sejurus menyedari mangsa tidak sedarkan diri. Mangsa dibantu oleh orang ramai dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur sebelum meninggal dunia kira-kira 10 pagi semalam kerana kecederaan parah di kepala selain pendarahan dalam otak," kata Zakaria.

Polis kemudian menyerbu sebuah rumah di sekitar Wangsa Maju dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 17 tahun yang merupakan seorang penganggur sebelum menahan dua lagi lelaki juga di sekitar kawasan yang sama.

"Lelaki pertama ditahan waktu pagi sejurus kita mendapat maklumat pada 21 Jan. Dua lagi yang berusia 18 tahun yang masing-masing bekerja sebagai pelayan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur dan pelajar kolej swasta ditahan waktu malam pada hari yang sama," katanya.

Beliau berkata hasil siasatan lanjut, polis menahan seorang lagi suspek berusia 24 tahun pada 4.30 pagi ini yang dipercayai suspek utama yang menyebabkan kematian mangsa.

Katanya keempat-empat suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan polis tidak menemui sebarang senjata ketika serbuan dijalankan, tetapi sejumlah pecahan kaca yang mungkin ada kaitan dengan kes itu ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata polis masih mengesan dua lagi lelaki untuk membantu siasatan kes itu.

Mereka adalah Rajeswaran a/l Ghanasan, 20, jurujual di sebuah kedai video cakera padat di Seksyen 2, Wangsa Maju dengan alamat di kad pengenalan Lot 988, Lorong Awan Biru, Taman Yarl, Batu 51/2, Jalan Klang Lama serta Rhuvethan a/l Mohan, 20, yang beralamat terakhir di No 105, Blok F6, Seksyen 2, Wangsa Maju.

Kesemua suspek ditahan reman bermula hari ini hingga 29 Jan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain