suria

Aman Malaysia sedia hantar doktor ke Gaza

KUALA LUMPUR: Pasukan Aman Malaysia sedang membuat persiapan bagi menghantar sekumpulan doktor untuk menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza dalam masa terdekat ini.

Penyelaras Aman Malaysia, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, selain bantuan kecemasan dan bekalan ubat-ubatan, pasukan ini akan cuba memasuki Rafah termasuk ke Genting Gaza bagi melaksanakan misi dan meringankan bebanan kesan serangan rejim zionis Israel ke atas penduduk Palestin di sana.

Katanya, sekumpulan doktor berkenaan termasuk sukarelawan dan Aman Malaysia terpaksa berdepan dengan risiko tinggi bagi memasuki sempadan di Genting Gaza yang belum tentu dijamin keselamatannya.

"Ada sempadan dibuka di sana, tapi perjalanan ke Rafah untuk memasuki Gaza masih tidak dijamin tahap keselamatan, katanya kepada pemberita selepas melancarkan "Malam Tabung Palestin" di sini, malam tadi.

Beliau berkata, pasukan Aman Malaysia tidak melancarkan sebarang tabung, namun berperanan menerima dan menyerahkan tabungtabung yang dilancarkan di seluruh negara kepada "Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin" yang ditubuhkan oleh Kementerian Luar di Wisma Putra.

Mukhriz, yang juga Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa dan Badan Bukan Kerajaan Pergerakan Pemuda Umno, berkata semua sumbangan yang diterima akan diuruskan oleh Kementerian Luar dan akan menyalurkan kepada badan-badan yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan bantuan yang bersesuaian.

Seramai 500 orang termasuk wakil daripada pergerakan Pemuda parti komponen Barisan Nasional menghadiri majlis makan malam berkenaan yang dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Segambut. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain