suria

Ubaidullah, pemimpin veteran MIC meninggal dunia

[DIKEMAS KINI, 8 MALAM] PETALING JAYA: Pemimpin veteran MIC, Tan Sri S.O.K. Ubaidulla Kadir Basha meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 pagi tadi kerana sakit tua.

Allahyarham Ubaidulla, 90, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di No 10, Lorong Bukit Pantai 6 di sini, meninggalkan seorang isteri Puan Sri Mehrunnisa Mohideen serta dua anak lelaki, Hishamudin dan Hamimudin.

Jenazah beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Asar hari ini.

Allahyarham Ubaidulla merupakan bekas pengerusi Ubaidi Foundation dan ahli perniagaan terkemuka dengan memiliki syarikat perkhidmatan penerbangan di ibu negara.

Allahyarham adalah antara mereka yang berusaha menubuhkan MIC pada 1946 dan telah menyertai politik sejak 1932.

Tokoh Maal Hijrah itu pernah memegang jawatan Naib Presiden MIC dan kemudiannya telah dilantik sebagai Pengerusi Tetap MIC meninggal dunia di rumahnya pukul 10.30 pagi ini.

Tokoh politik dan dermawan terbilang

Allahyarham Ubaidulla dikenali ramai sebagai tokoh politik dan dermawan yang sentiasa merendah diri.

Dilahirkan pada 18 Jun 1918 di Chennai, India, Ubaidulla datang ke negara ini pada 1930an dan bekerja dengan sebuah firma di Seremban. Beliau memulakan perniagaan sendiri pada 1940an dengan menjual beg pakaian dan beberapa jenis barangan keperluan harian.

Selepas itu, beliau menceburi bidang agensi perkapalan dan perjalanan, yang menjadi teras perniagaannya mulai 1970an.

Sebagai antara pengasas MIC pada 1946, beliau kekal bersama parti itu sehingga ke akhir hayat. dan sebagai anggota veteran, dermawan ini menyandang beberapa jawatan kanan dalam MIC.

Pada 1975, Ubaidulla dipilih sebagai naib presiden MIC dan pada 1981, beliau dilantik sekali lagi menganggotai Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu sebelum dilantik sebagai pengerusi tetap MIC.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi MIC dan dipilih sebagai pengerusi pertama MIC Unit Trusts Berhad.

Pada 1959, beliau dilantik sebagai senator dan pada 1971 dilantik sebagai timbalan presiden Dewan Negara. Pada 1975, beliau dilantik semula ke jawatan itu.

Ubaidulla tidak lokek untuk mencurahkan pengalamannya dalam bidang perniagaan untuk dikongsi oleh orang lain dan bagi menghargai sumbangan beliau ini, Ubaidulla dilantik sebagai presiden pertama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Bersekutu India dari 1950-1951 dan kemudian dari 1957-1985. Ubaidulla juga disanjung tinggi kerana sumbangan beliau dalam bidang korporat dan badan swasta.

Veteran politik ini merupakan pengarah pengasas Bank Bumiputra dan pernah dipilih sebagai presiden Persatuan Perundingan Majikan Malaya (kini dikenali sebagai Persekutuan Majikanmajikan Malaysia (MEF)) selama 20 tahun.

Pada 1978, beliau dipilih sebagai setiausaha agung Persatuan Persahabatan Malaysia-Korea dan pada 1982, sebagai presiden Persekutuan Majikan-majikan Asean.

Ubaidulla juga dikenali ramai sebagai insan yang banyak memberi sumbangan dalam meningkatkan syiar Islam. Beliau adalah presiden pengasas Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan Muslimin-Indo Malaysia (Permim) serta pernah berkhidmat sebagai pengerusi Persatuan Pendakwah SeTanah Melayu.

Bagi menghargai sumbangan beliau dalam bdiang ini, Ubaidullah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1989.

Selain memainkan peranan penting dalam perjuangan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu, Ubaidulla juga bergiat aktif dalam memajukan kesusasteraan Tamil di negara ini.

Bagi membantu golongan kurang bernasib baik, Ubaidulla menubuhkan Yayasan Ubaidi pada Mei 1990 dengan menggunakan sepenuhnya keuntungan yang beliau peroleh daripada jualan bangunan dan tanah beberapa tahun sebelumnya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain