suria

Tubuh badan bebas siasat kematian seorang lelaki

KUALA LUMPUR: Polis disaran menubuhkan badan bebas untuk menyiasat kematian seorang lelaki ketika dalam tahanan di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya kelmarin.

Anggota Parlimen Kapar S. Manikavasagam berkata kematian A. Kuhan, 23, di balai polis itu telah menimbulkan syak wasangka di kalangan orang ramai dan kematian itu perlu disiasat.

Beliau, yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya pada kira-kira pukul 4 petang, yang meminta siasatan rapi terhadap kes tersebut, juga berkata setelah bercakap dengan keluarga mangsa, didapati terdapat unsurunsur penderaan yang menyebabkan kematian Kuhan.

Bapa mangsa, yang hanya mahu dikenali sebagai Ananthan, ketika ditemui pemberita bersama Manikavasagam selepas membuat laporan polis itu berkata anaknya dilaporkan media, mati ketika dalam tahanan polis.

Katanya, tempoh reman Kuhan yang ditahan sejak Khamis lepas kerana didakwa terlibat dalam kes samun kereta mewah, sepatutnya tamat hari ini. "Kami sekeluarga dimaklumkan kematiannya pada pukul 9 malam semalam (kelmarin)sedangkan dia dilaporkan mati pada pukul 11.30 pagi.

Mayatnya telah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedahsiasat. "Kami sekeluarga percaya anak saya didera kerana terdapat kesan cedera pada tubuh badannya dan ini bukan disebabkan asma. Anak saya tidak menghidap penyakit asma," katanya.

Kelmarin, Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata, Kuhan mati dalam lokap dan kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Ketika bercakap dengan pemberita di Balai Polis Seri Kembangan dekat sini semalam, beliau berkata polis kini sedang menjalankan siasatan terperinci untuk mengenalpasti punca sebenar kematian Kuhan.

"Bedah siasat mula dibuat petang ini, jadi kita kena tunggu laporan (bedah siasat) itu dan baru kita boleh tahu punca (kematian) sebenar," katanya.

Khalid juga berkata, beliau mendapat laporan mengenai sekumpulan lelaki yang bertindak menyerbu bilik mayat di Hospital Serdang pagi tadi, dan mengambil gambar mayat Kuhan.

"Saya tak tahu bagaimana pihak hospital boleh membenarkan gambar si mati diambil sedangkan bedah siasat belum dilakukan.

Beliau berkata, mangsa ditahan di hadapan sebuah kondominium di Puchong pada Khamis, pukul 1 pagi, di mana pergelutan berlaku antara dia dan polis sebelum Kuhan ditahan.

"Polis mendapat maklumat pada Rabu lepas, bahawa mangsa adalah salah seorang anggota kumpulan yang terlibat dalam kes samun kereta mewah di sekitar Lembah Klang dan Johor.

"Hasil intipan polis di kondominium itu, kita berjaya menahan mangsa yang ketika itu sedang memandu kereta jenis Honda di kawasan berkenaan bersama seorang lelaki berumur lingkungan 30an. Bagaimanapun rakannya berjaya melarikan diri," katanya. Katanya, polis mengenalpasti suspek terbabit dan sedang mengesannya.

Bagaimanapun siasatan polis mendapati Kuhan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, kata Khalid.

"Hasil soal siasat terhadap Kuhan, polis berjaya mengesan 15 buah kereta mewah, dua daripada kereta itu ditemui di kondomium berkenaan manakala 13 buah lagi di sebuah gudang di Puchong.

Kes kematian Kuhan disiasat dibawah Akta 330 Kanun Keseksaan, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain