suria

Pro-Mahasiswa, Bebas terus ungguli pemilihan UIAM

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Kumpulan pro-Mahasiswa dan Bebas Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mempertahankan penguasaan mereka dalam pilihan raya kampus hari ini dengan memenangi hampir keseluruhan 29 kerusi yang dipertandingkan.

Kumpulan pro-Aspirasi hanya memenangi satu kerusi.

Kumpulan pro-Mahasiswa berjaya memperoleh 19 kerusi manakala calon Bebas menggondol tujuh kerusi termasuk lima kerusi antarabangsa.

Bagi lima kerusi antarabangsa itu, kesemua calon menang tanpa bertanding.

Bagaimanapun, pengundian badi dua kerusi Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu terpaksa ditangguh sehingga 29 Januari berikutan wujud bantahan berhubung kesalahan nama dan gambar calon yang bertukar pada sistem pengundian e-vote yang digunakan.

Bagi pemilihan sesi 2008/2009 kali ini, UIAM mempertandingkan 29 kerusi secara keseluruhannya berbanding 27 kerusi pada penggal lalu.

Pertambahan dua lagi kerusi itu berlaku apabila Fakulti Pergigian di kampus UIAM Kuantan mula beroperasi pada penggal ini.

Bagi kerusi antarabangsa, jumlahnya masih kekal dengan lima kerusi - pecahan empat di Gombak dan satu di Kuantan.

Bagi kerusi fakulti untuk kampus Gombak dan Kuantan, masing-masing menawarkan sebanyak 12 kerusi menjadikan jumlah keseluruhannya ialah 24 kerusi.

Bekas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UIAM, Muhammad Adib Hatim berkata, pihaknya, berasa kecewa kerana terdapat sedikit masalah pada sitem pengundian apabila berlaku pertukaran gambar dan nama calon bagi kerusi Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu.

"Ini pertama kali terjadi dalam sejarah pemilihan UIAM dan kami sedikit kecewa. Kami juga berharap pihak universiti menjelaskan mengenai masalah tersebut," katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau berpuas hati apabila kumpulan pro-Mahasiswa meneruskan tradisi mereka menguasai pilihan raya kampus UIAM.

Beliau juga berharap agar kepimpinan baru meneruskan usaha untuk memperjuangkan hak dan kebajikan pelajar.

"Kita harapkan agar kepimpinan yang baru ini akan meneruskan usaha yang telah kami jalankan pada penggal lalu demi memastikan kebajikan pelajar terjaga," katanya.

Pilihan raya UIAM menjadi penutup kepada kehangatan pilihan raya kampus sesi pengajian 2008-2009.

BERITA TERDAHULU

UIAM langsungkan pemilihan kampus hari ini

PETALING JAYA: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), menjadi penutup kepada kehangatan pilihan raya kampus sesi pengajian 2008-2009 dengan muncul sebagai pusat pengajian tinggi mengadakan pengundian memilih barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang baru hari ini.

Kumpulan pro-Mahasiswa yang mengusai UIAM berusaha untuk mengekalkan pengusaan mereka pada pemilihan penggal ini.

Bekas Yang Dipertua MPPUIAM, Muhammad Adib Hatim berkata, sepanjang tempoh tiga hari berkempen, kumpulan pro-Mahasiswa berusaha sebaik mungkin untuk memastikan calon-calon mereka terus diterima dalam pemilihan kali ini.

"Kami sudah lakukan yang terbaik sepanjang tempoh ini (berkempen), dan kami harapkan pro-Mahasiswa akan terus menungguli pilihan raya ini," katanya kepada mStar Online.

Pada pemilihan kali ini UIAM mempertandingkan 29 kerusi secara keseluruhannya berbanding 27 kerusi pada penggal lalu.

Pertambahan dua lagi kerusi itu berlaku apabila Fakulti Pergigian di kampus UIAM Kuantan mula beroperasi pada penggal ini.

Bagi kerusi antarabangsa, jumlahnya masih kekal dengan lima kerusi - pecahan empat di Gombak dan satu di Kuantan.

Bagi kerusi fakulti untuk kampus Gombak dan Kuantan, masing-masing menawarkan sebanyak 12 kerusi menjadikan jumlah keseluruhannya ialah 24 kerusi.

Tambah Muhammad Adib, pro-Mahasiswa meletakkan semua calonnya di kesemua kerusi yang dipertandingkan.

Proses pengundian dibuka pada pukul 9 pagi dan akan berakhir 5 petang ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain