suria

Hindu Sangam kecewa pelantikan anggota Lembaga Wakaf Hindu

KUALA LUMPUR: Malaysian Hindu Sangam semalam melahirkan rasa kecewa berhubung pelantikan anggota Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang kebanyakannya adalah daripada satu parti politik.

Presidennya, Datuk A. Vaithilingam, berkata dalam kenyataan di sini telah menjadi dasar sejak sekian lama untuk melantik seorang anggota majlis kerajaan negeri beragama Hindu sebagai pengerusi lembaga itu manakala anggota lain adalah daripada pelbagai peringkat di kalangan penganut Hindu.

Beliau berkata, selama ini, Hindu Sangam atau anggota pertubuhan itu yang dilantik sebagai anggota lembaga itu. Hindu Sangam ialah badan induk bagi pelbagai pertubuhan Hindu di negara ini.

"Kami merayu kepada Ketua Menteri untuk campur tangan dan menghalang lembaga daripada campur tangan dalam penganjuran majlis oleh kuilkuil yang tidak terletak di bawah lembaga itu mengikut Enakmen Persekutuan dan Perjanjian Selat," katanya.

Katanya, Hindu Sangam juga kesal dengan pendapat bercanggah yang dikeluarkan oleh anggota lembaga itu mengenai perarakan kereta berhias yang membawa patung Dewa Murugan sempena Thaipusam akan datang yang akan dikendalikan oleh Kuil Sri Thandayuthapani di Jalan Air Terjun, Pulau Pinang.

"Kuil ini tidak terletak di bawah Lembaga Wakaf dan dengan itu lembaga berkenaan tidak mempunyai bidang kuasa ke atas kuil ini," kata Vaithilingam.

Bagaimanapun, katanya Hindu Sangam menghargai kerjasama yang diberikan oleh kerajaan negeri, terutamanya Timbalan Ketua Menteri, Prof Dr P. Ramasamy mengenai kuil dan isu lain yang dihadapi penganut Hindu.

"Adalah penting pada waktu ini semangat setiakawan dikekalkan di semua peringkat," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain